Zhang Qian, Tokoh Terkenal Dalam Sejarah China

2018-03-07 10:27:42  CRI
Share with:

图片默认标题_fororder_zq03

Pada lebih 2 ribu tahun yang lalu iaitu zaman Dinasti Han Barat China, Zhang Qian sebagai utusan Dinasti Han Barat China dua kali melawat negara-negara Asia Tengah, Asia Barat, Benua kecil India, Eropah Timur dan Afrika Utara. Pada masa itu, beberapa puluh negara telah ditubuhkan di kawasan-kawasan tersebut. China tidak menjalin hubungan dengan negara-negara tersebut. Dua kali lawatan Zhang Qian ke negara-negara tersebut telah membuka "jalan sutera" yang terkenal di dunia dan melahirkan pengaruh besar dalam sejarah China dan dunia.

 

Dinasti Han sentiasa diceroboh oleh Xiongnu, etnik nomad di sebelah utara sehingga pembangunan Dinasti Han terjejas. Maharaja Wu Dinasti Han bercadang melancarkan peperangan untuk menewaskan Xiongnu. Baginda hendak bekerjasama dengan negeri Dayuezhi yang terletak di sebelah barat laut Dinasti Han yang juga sentiasa diceroboh oleh Xiongnu. Baginda mengutus utusan melawat negeri Dayuezhi untuk bekerjasama dengan raja negeri itu. Akan tetapi, utusan kerajaan Dinasti Han tersebut bukan sahaja mesti melalui kawasan kawalan Xiongnu, tetapi juga akan menghadapi pelbagai kesukaran kerana keadaan alam di kawasan itu yang sangat buruk. Zhang Qian, pengikut baginda dilantik sebagai utusan maharaja atas kehendaknya sendiri.

 

Pada tahun 139 sebelum Masihi, Zhang Qian mengetuai rombongan yang terdiri daripada lebih 100 orang bertolak dari Changan, ibu kota Dinasti Han iaitu Xian pada masa ini menuju ke barat laut. Apabila melalui kawasan kawalaN Xiongnu, mereka ditahan oleh Xiongnu. Raja Xiongnu memaksa mereka menjalankan kerja berat dan memaksa Zhang Qian berkahwin dengan gadis Xiongnu dan melahirkan zuriat dengan maksud menghalang Zhang Qian melawat negeri Dayuezhi. Zhang Qian sentiasa mencari peluang untuk melarikan diri. 11 tahun selepas itu, Zhang Qian mendapat peluang melarikan diri. Zhang Qian yang kekurangan barang makanan dan air minuman tiba di negeri Dayuezhi dengan sukar merentasi padang pasir yang luas tidak bertepi dan gunung yang diliputi salji sepanjang tahun. Tetapi pada masa itu, raja negeri Dayuezhi telah membatalkan cadangannya untuk menyerang Xiongnu. Disebabkan tidak dapat meyakinkan raja negeri Dayuezhi, Zhang Qian bertolak kembali ke negaranya selepas tinggal lebih setahun di negeri Dayuezhi. Dalam perjalanan kembali ke negaranya, Zhang Qian ditangkap pula oleh Xiongnu dan ditahan selama lebih setahun.

 

Pada tahun 126 sebelum Masihi iaitu 13 tahun selepas Zhang Qian bertolak dari Changan, beliau berjaya melarikan diri ke Changan. Beliau membuat laporan terperinci kepada Maharaja Wu Dinasti Han tentang pengalaman beliau dan keadaan politik, geografi dan adat resam rakyat pelbagai negara Asia Tengah yang dilawatinya. Maklumat yang dilaporkan oleh Zhang Qian kepada Maharaja Wu Dinasti Han telah memainkan peranan penting dalam usaha Dinasti Han mengalahkan Xiongnu.

 

Pada beberapa tahun selepas itu, Dinasti Han telah mengalahkan Xiongnu dan mengusir Xiongnu ke tempat yang lebih jauh dari wilayah Dinasti Han. Zhang Qian sekali lagi memohon untuk melawat negara-negara Asia Tengah, Asia Barat, Eropah Timur dan Afrika Utara. Beliau mengetuai satu rombongan besar dengan membawa sejumlah besar barang kemas, sutera, lembu dan kambing melawat negara-negara tersebut. Pada 2 tahun selepas itu, pelbagai negara tersebut turut menghantar utusan masing-masing melawat China. Sejak itu, hubungan persahabatan China dengan pelbagai negara tersebut telah dijalinkan dan pertukaran antara China dengan pelbagai negara tersebut semakin meningkat.

 

Lawatan Zhang Qian tersebut telah membuka "jalan sutera" yang terkenal di dunia. Menerusi "jalan sutera" itu, sutera, barang-barang lak, porselin dan besi serta teknik penternakan ulat sutera China telah diperkenalkan ke negara-negara tersebut, manakala kuda, alfalfa, lada, walnut dan tekstil daripada benang wol dari negara-negara tersebut telah diperkenalkan ke China. Selain itu, kesusasteraan, nyanyian, tarian, perubatan, akrobatik dan ilmu astronomi Barat juga diperkenalkan ke China. Agama Buddha yang diperkenalkan ke China telah melahirkan pengaruh besar dalam perkembangan kebudayaan China. 

王瑾