Sungai Huangpu, Ibunda yang Mempesona

2018-04-24 14:53:42  CRI
Share with:

图片默认标题_fororder_676517e9ge6fd7878561c&500

 

Jika Sungai Kuning digelar sebagai sungai ibunda bangsa China, Sungai Huangpu boleh dikatakan sungai ibunda kepada bandar raya Shanghai, dan turut menyaksikan perkembangan bandar itu. Jambatan Nanpu sepanjang 8,346 meter, antara jambatan pertama yang dibina bagi menghubungkan kedua-dua tebing Sungai Huangpu. Kemudian sebuah lagi jambatan yang dinamai Jambatan Yangpu, iaitu antara jambatan kabel-penahan yang paling panjang di dunia dibina merentangi sungai ini. Kedua-dua jambatan ini umpama dua ekor naga yang merentasi sungai tersebut.

 

Muara Wusongkou, tempat pertemuan aliran Sungai Huangpu dengan Sungai Yangtze sebelum mengalir masuk ke Laut Timur. Satu pemandangan yang amat unik lagi mengagumkan boleh disaksikan di muara tersebut apabila air laut pasang mengalir ke muara itu. Pada waktu itu, air di muara itu menunjukkan tiga warna yang berbeza, iaitu warna kelabu kebiruan air Sungai Huangpu, warna kekuning-kuningan air Sungai Yangtze dan warna hijau air laut. Musim bunga dan musim luruh antara masa yang paling sesuai untuk melancong ke Sungai Huangpu. Walau bagaimanapun, sungai ini tidak pernah sunyi daripada kunjungan para pelancong yang datang untuk makan angin pada musim panas.

 

图片默认标题_fororder_nu2007061847

 

Menara TV yang dikenali dengan nama popularnya “Mutiara Timur” berdiri tegak di tebing Sungai Huangpu. Menara TV setinggi 468 meter itu merupakan mercu tanda bandar raya Shanghai.

 

Jika bersiar-siar di tebing Sungai Huangpu, anda seolah-olah berada di sebuah muzium arkitektur yang mempamerkan seni bina dari pelbagai negara di dunia. Bangunan-bangunan yang bergaya Britain dan Perancis, serta seni bina Gothic dan Baroque turut menyerikan jalan di tebing sungai, dan menjadi daya tarikan kepada para pelancong. Mungkin ada yang bertanya kenapa terdapat begitu banyak bangunan bergaya asing di situ? Jawapannya ada pada sejarah penghujung zaman Dinasti Qing. Pada tahun 1845, pemerintah Qing menawarkan satu kawasan seluas 55 hektar di tebing Sungai Huangpu untuk disewakan kepada penjajah Britain. Selepas itu, beberapa bangunan mulai dibina di kawasan itu, termasuk konsulat Britain dan pejabat bagi pelbagai institusi perbankan. Menurut statistik, belasan bank dari pelbagai negara pernah mengadakan urus niaga mereka di tebing Sungai Huangpu dari 1854 hingga 1941. Oleh itulah, jalan ini juga dikenali sebagai Wall Street Timur pada masa tersebut.

 

Bilakah masa yang sesuai untuk menyaksikan pemandangan yang paling indah di tebing Sungai Huangpu? Jawapannya pasti adalah pada waktu senja apabila lampu-lampu mula dinyalakan. Kemakmuran bandar raya Shanghai boleh dihayati sepenuhnya berdasarkan lampu terang-benderang di tebing Sungai Huangpu.

 

Di tebing Sungai Huangpu juga terdapat satu tempat yang betul-betul romantik, iaitu “Tembok Kekasih”. Tembok yang asalnya sebuah tambak pencegah air bah itu mula menjadi tempat pemuda-pemudi memadu kasih sejak tahun 1970-an.

王瑾