Kerajaan PAS Terengganu tidak menyokong pembatalan Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) sebaliknya mencadangkan kerajaan Pusat membuka tender baharu kepada syarikat tempatan atau luar negara yang berminat meneruskan projek itu. Menteri Besar, Dr Ahmad Samsuri Mokhtar, berkata amat merugikan andai ECRL dihentikan terus lebih-lebih lagi proses awal pelaksanaan projek itu sudah berjalan.
Langkah menghentikan pelaksanaan projek ini satu kerugian, sepatutnya boleh buat proses baru membuka tender kepada syarikat tempatan untuk adakan kerjasama dengan luar negara pada kos munasabah. Beliau berkata demikian kepada media kelmarin.
Namun, Dr Ahmad Samsuri berkata, kerajaan negeri masih menunggu maklumat lanjut daripada kerajaan Pusat mengenai pembatalan projek berkenaan.
“Perlu juga ada penjelasan sewajarnya, adakah projek ECRL ini dibatalkan terus tanpa memberi peluang kepada pihak lain mengambil alih atau mengambil inisiatif lain untuk meneruskannya.”
Beliau berkata, kerajaan negeri amat berharap projek yang memberi manfaat kepada rakyat seperti ECRL dapat diteruskan. Walaupun projek ini terhenti selepas Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) lalu, pihaknya berharap ia diteruskan dan menjadi pendirian PAS untuk meneruskan mana-mana projek yang dapat memberi manfaat kepada rakyat. Bagaimanapun, pihaknya tetap menghormati dan berharap dapat menjalin kerjasama yang baik dengan kerajaan Pusat. Kerajaan negeri juga berharap segala janji yang pernah dimeterai antara kerajaan Pusat dengan negeri dapat diteruskan.
sumber Berita Harian