
Sulaman tradisional China antara cederamata disukai pelancong asing yang melawat bandar Suzhou.
Sulaman China biasanya bermotif gunung, tasik, burung, bunga dan lain-lain elemen lukisan tradisional.
Berbeza dengan sulaman biasa, karya yang dihasilkan Chen Yinghua, seorang tukang sulam dari Suzhou, bermotif ruang angkasa. Keunikan ini menjadikannya tular di media sosial baru-baru ini.

Kalau dipandang sepintas lalu, anda mungkin merasakan karya Yinghua ini gambar yang diambil dengan teleskop. Tetapi jika dilihat dengan teliti, kelihatan jahitan halus berwarna-warni yang tampak hidup.

Hasil tangan Yinghua turut menarik minat NASA, yang berkali-kali menyatakan hasrat untuk membeli koleksi tersebut. Tawaran mereka bagaimanapun ditolak kerana Yinghua mahu sulamannya dipamerkan di muzium sains dan teknologi China.