ICBC Buka Cawangan di Manila

2018-11-22 13:50:17  CRI
Share with:

Bank Industri dan Komersial China (ICBC) cawangan Manila mula beroperasi secara rasmi semalam, selepas berlangsung majlis penyerahan sijil sehari sebelumnya yang disaksikan oleh Presiden China, Xi Jinping dan Presiden Filipina, Rodrigo Duterte.

Setakat ini, ICBC telah membuka cawangan di sembilan negara ASEAN, membolehkan jaringan perkhidmatannya di pasaran Asia Tenggara serta sepanjang Jalur dan Laluan semakin lengkap.

Presiden ICBC, Yi Huiman menyatakan bahawa pihaknya mementingkan pasaran Filipina dan akan menyediakan pelbagai jenis perkhidmatan bagi memudahkan perdagangan dan pelaburan antara China dengan negara itu.

Setiausaha Jabatan Tenaga Filipina, Alfonso Cusi mengalu-alukan ICBC membuka cawangan di Manila.

Beliau berkata, seiring dengan perkembangan pesat hubungan ekonomi antara Filipina dan China beberapa tahun kebelakangan ini, semakin banyak syarikat China melabur di negara itu.

Pada masa yang sama, pembangunan ekonomi Filipina juga meningkatkan permintaan terhadap perkhidmatan perbankan.

ICBC cawangan Manila diharap menyediakan sokongan dan perkhidmatan lebih berkualiti kepada pembangunan ekonomi Filipina.

Pada tahun-tahun kebelakangan ini, ICBC telah mengambil inisiatif untuk menyempurnakan rangkaian perkhidmatannya di peringkat global mengikut perkembangan perdagangan luar dan pelaburan China.

Setakat ini, ICBC telah membuka 426 cawangan di 47 negara dan wilayah, menjadikan bank itu antara institusi kewangan China yang liputan rangkaian perkhidmatannya paling luas di seberang laut.

张弘