Saksi, Serta, Sumbang, Kongsi Pembaharuan dan Keterbukaan China

2018-12-20 12:07:06  CRI
Share with:
Pembaharuan dan keterbukaan yang mula dilaksanakan pada 1978 bukan sahaja membawa perubahan kepada China, malah juga impak besar kepada dunia. Tatkala mengimbas kembali pencapaian sepanjang 40 tahun lalu, sudah tentulah China tidak akan melupakan tokoh asing yang pernah memberi sokongan dan menyumbang tenaga.
Pada majlis peringatan ulang tahun ke-40 pelaksanaan pembaharuan dan pintu terbuka di Beijing kelmarin, Presiden Xi Jinping berucap menyampaikan penghargaan setulus ikhlas kepada semua sahabat asing dan rakyat di seluruh dunia yang mengambil berat terhadap pembaharuan, keterbukaan dan pemodenan China.

Seramai 10 tokoh asing telah dianugerahi Pingat Persahabatan Pembaharuan China, antaranya Alain Merieux yang membantu China mengatasi wabak SARS dan selesema burung; Werner Gerich yang merupakan pengurus warga asing pertama bagi kilang milik negara; dan Klaus Schwab yang membantu China menyertai ekonomi dunia.

Juga diberi penghormatan sama, Konosuke Matsushita yang membantu China memajukan industri elektronik; Lee Kuan Yew yang menyokong teguh model pembangunan China; dan Juan Antonio Samaranch yang membawa China kembali ke pangkuan keluarga Olimpik.

Mereka mewakili pelbagai negara dan bidang-bidang berbeza namun berkongsi gelaran yang sama, iaitu sebagai saksi dan penyumbang kepada pembaharuan dan keterbukaan China.

Ketika China memutuskan untuk melaksanakan dasar tersebut 40 tahun lalu, ekonominya berada pada pinggir keruntuhan, sedangkan dunia sedang melakar kemajuan dari segi sains dan teknologi dengan ekonomi yang berkembang pesat. Maka adalah amat mustahak bagi China membelajari pengalaman dan mengundang tokoh unggul dari negara lain pada fasa itu.

Werner Gerich, warga asing pertama yang berkhidmat sebagai pengurus kilang milik negara di China, menguruskan kilang enjin diesel di Wuhan pada 1984. Berbekalkan pengetahuan dan pengalamannya selaku pakar pengurusan syarikat, warga Jerman tersebut memperkenalkan konsep pengurusan yang berteraskan kualiti dan pasaran, hingga membolehkan produk keluaran kilang berkenaan dieksport ke tujuh negara di Asia Tenggara. Sumbangannya itu membawa pengaruh besar kepada sistem pengurusan syarikat milik negara China.
Lee Kuan Yew yang dikenali sebagai pengasas Singapura moden, dalam tempoh perkhidmatannya sebagai Perdana Menteri berusaha mendorong pembinaan Zon Industri Suzhou China-Singapura yang turut menjadi kawasan rintis pembaharuan dan keterbukaan China, serta teladan kerjasama antarabangsa. Konsep pemilikan rumah yang diperkenalkan beliau dan pelan 'Rumah Pangsa' yang dilaksanakannya menjadi rujukan penting dalam menyelesaikan masalah serupa di China.

Kini, pembaharuan dan keterbukaan China berada pada titik permulaan baharu. Dengan pasaran gergasi berpopulasi hampir 1.4 bilion disokong inovasi tanpa henti dan suasana perniagaan yang terus dibaiki, China mampu mencipta lebih banyak peluang untuk warga dan syarikat asing.
曹捷