Mesyuarat Meja Bulat Perkembangan Jurusan Bahasa Melayu di China Kali Pertama di BFSU

2019-01-07 15:31:37  CRI
Share with:

图片默认标题_fororder_1254648448

Mesyuarat Meja Bulat Perkembangan Jurusan Bahasa Melayu di China pertama diadakan dengan jayanya di Universiti Pengajian Bahasa-bahasa Asing Beijing (BFSU) pada 4 Januari 2019.

Sebagai penganjur bersama dengan Kedutaan Besar Malaysia di China, BFSU menyambut kedatangan para pensyarah jurusan berkenaan dari sepuluh institusi pendidikan tinggi di seluruh negara untuk bersama-sama membincangkan keadaan semasa dan hala tuju perkembangan pengajaran bahasa Melayu di institusi masing-masing. 

Mesyuarat dibuka dengan ucapan alu-aluan daripada Encik Gu Jiayun, Timbalan Dekan Institut Pengajian Asia-Afrika BFSU. Beliau memperkenalkan BFSU dan menerangkan pembangunan dan pencapaian institusi itu pada masa ini. 

Tuan Aziz How Abdullah, Penasihat Pendidikan Kedutaan Besar Malaysia, menyatakan setinggi-tinggi penghargaan atas usaha BSFU sejak penubuhannya, berserta ucapan terima kasih kepada universiti-universiti lain yang turut sama mengembangkan bahasa Melayu di China. 

Profesor Wu Zongyu, Pengarah Pusat Pengajian Melayu China BFSU dalam ucapan beliau mengimbas kembali sejarah perjuangan dan cabaran yang dihadapi untuk membangunkan bahasa Melayu di BFSU. Beliau turut memberikan pesanan dan nasihat kepada para pensyarah dan pelajar generasi muda supaya terus mengembangkan bahasa Melayu di negara China serta memperkasakan hubungan akrab antara China dan Malaysia. 

图片默认标题_fororder_1923634219

YBhg Profesor Datuk Dr. Awang bin Sariyan, Mantan Penyandang Kursi Pengajian Melayu Kerajaan Malaysia di China, memuji usaha dan ikhtiar para pensyarah untuk memartabatkan bahasa Melayu. Selain para pensyarah, pelajar-pelajar dari Jurusan Bahasa Melayu BFSU turut bertungkus-lumus menjayakan mesyuarat kali ini.

Perkembangan bahasa Melayu di China begitu pesat dewasa ini. Seiring dengan itu, wakil-wakil pensyarah dari universiti dan kolej memperkenalkan sejarah perkembangan dan keadaan semasa di institusi masing-masing.

Dalam perkembangan yang sama, Universiti Guangxi, Kolej Lijiang Universiti Perguruan Guangxi dan Kolej Vokasional Perniagaan Guangxi telah mendapat mandat Kementerian Ppendidikan China untuk menubuhkan jurusan bahasa Melayu, yang masih belum dibuka untuk pendaftaran siswa setakat ini. Beberapa institusi pendidikan tinggi lain turut menawarkan bahasa Melayu sebagai kursus elektif.

Mesyuarat kali ini memutuskan untuk membentuk Sekretariat Penggerak Pengajian Melayu China Sesi Pertama (2019-2021) yang berpangkalan di BFSU. Prof Madya Dr. Su Yingying selaku wakil, telah membentangkan perancangan dan prospek sekretariat tersebut. Penubuhan sekretariat itu boleh dikatakan tepat pada masanya untuk mendorong dan menggalakkan kerjasama antara institusi pengajian tinggi China dalam pengembangan jurusan bahasa Melayu dan pengajaran bahasa Melayu secara menyeluruh.

Perkara ini diharap akan meningkatkan lagi kerjasama pendidikan dan budaya antara institusi pengajian tinggi di China dan Malaysia. 

Pada tahun 2019 ini, bersempena dengan ulang tahun ke-45 hubungan diplomatik antara China dan Malaysia,  Sekretariat Penggerak akan bekerjasama dengan Kedutaan Besar Malaysia untuk menganjurkan pelbagai aktiviti bertema budaya. 

Pada sebelah petang, para peserta mesyuarat dijemput mendengar syarahan perdana Profesor Datuk Dr. Awang bin Sariyan yang bertajuk "Kemahiran Bahasa Untuk Komunikasi Berkesan" di Kedutaan Besar Malaysia. Sijil penyertaan disampaikan oleh puan Nuryante Yazid, Timbalan Ketua Perwakilan Kedutaan Besar Malaysia di China.

Usaha BFSU dan Kedutaan Besar Malaysia dalam melaksanakan Mesyuarat Meja Bulat Perkembangan Jurusan Bahasa Melayu di China pertama ini merupakan satu kejayaan yang besar, juga langkah pembuka untuk lebih menyemarakkan dan memperkasakan perkembangan bahasa Melayu dan pengajian Melayu di negara China pada masa akan datang.

Mesyuarat diserikan wakil Bahagian Bahasa Melayu Kumpulan Media China (CMG), BFSU, Universiti Komunikasi China (CUC), Universiti Pengajian Bahasa-bahasa Asing Guangdong, Universiti Etnik-etnik Guangxi, Universiti Minzu Yunnan, Universiti Pengajian Bahasa-bahasa Asing Tianjin, Universiti Pengajian Antarabangsa Xi'an, Universiti Kejuruteraan Maklumat kampus Luoyang, Kolej Perguruan Minjiang dan Kolej Pengajian Bahasa-bahasa Asing Hainan. 

周乔西