Malam Gembira Tahun Baharu Cina (TBC) telah disiarkan menerusi Kumpulan Media China (CMG) semalam, menghidangkan persembahan artistik yang memperlihatkan tekad rakyat mengejar Impian China dan kesejahteraan hidup pada era baharu ini.
Untuk lebih 30 tahun lamanya, setiap isi rumah di China telah menyambut ketibaan Tahun Baharu Cina dengan menikmati persembahan Malam Gembira.
Acara tahun ini adalah yang pertama sejak CMG ditubuhkan. Selain venue utama di Beijing, persembahan juga bertempat di pentas cawangan di Jinggangshan, Changchun dan Shenzhen. Tumpuan masyarakat dan kesejahteraan rakyat menjadi tema pelbagai persembahan artistik sepanjang malam.
Siaran langsung Malam Gembira TBC kali ini dijalankan melalui pelbagai platform kendalian CMG dengan sokongan pihak kerjasama, untuk menyampaikan program tersebut secara serentak kepada penonton di seluruh pelosok dunia. Setakat malam semalam, jumlah penyertaan bagi aktiviti interaksi anjuran CMG melalui aplikasi Baidu mencecah 20.8 bilion, sementara jumlah video yang disiarkan CMG melalui media baharu mencecah 24.7 bilion.
Siaran buat julung kalinya diadakan melalui saluran 4K definisi ultra tinggi (UHD) iaitu CCTV-4K, dengan bunyi keliling dan jaringan telekomunikasi mudah alih generasi kelima (5G).
Sejak 1983, menonton persembahan Malam Gembira pada malam Tahun Baharu Cina telah menjadi tradisi baharu bagi rakyat negara ini. Pengaruh Malam Gembira TBC juga dapat dilihat dalam perkataan dan ungkapan popular dalam kalangan netizen, serta lirik lagu yang didendangkan penyanyi Cina di seluruh dunia.