Sempena ulang tahun ke-40 penjalinan hubungan diplomatik China-Portugal, Presiden China, Xi Jinping dan rakan sejawatnya, Marcelo Rebelo de Sousa saling mengutus kawat tahniah semalam.
Xi dalam kawat tahniah menyatakan, persahabatan China-Portugal bersejarah lama. Sejak penjalinan hubungan diplomatik 40 tahun yang lalu, kedua-dua negara berpegang kepada prinsip saling menghormati, sama rata dan saling menguntungkan, memelihara perkembangan hubungan dua hala secara stabil dan sihat. China dan Portugal berjaya menyelesaikan isu Makau dengan baik pada tahun 1999 dan menjadi teladan bagi penyelesaian isu peninggalan sejarah melalui rundingan di arena antarabangsa.
Sejak penjalinan hubungan rakan strategik komprehensif pada tahun 2005, pertukaran lawatan peringkat tinggi kerap diadakan, dan kesalingpercayaan dalam politik banyak ditingkatkan. Kerjasama kedua-dua negara dalam pelbagai bidang mencapai kejayaan yang memuaskan.
Xi menyatakan, China amat mementingkan hubungan dengan Portugal dan bersedia menggalakkan hubungan rakan strategik komprehensif kedua-dua negara ke tahap yang lebih tinggi demi kesejahteraan rakyat kedua-dua negara.
Marcelo Rebelo de Sousa dalam kawatnya menyatakan, negara itu berasa bangga terhadap hubungan damai dengan China dalam jangka masa yang panjang dan percaya hubungan persahabatan dua hala akan terus diperkasakan.