Xi Rangka Pembangunan Berkualiti BRI

2019-04-27 15:14:30  CRI
Share with:
Pembangunan berkualiti Jalur dan Laluan menjadi tumpuan sidang meja bulat sempena Forum Kemuncak Kerjasama Antarabangsa Jalur dan Laluan kedua di Beijing pagi tadi.

Sidang yang dipengerusikan Presiden Xi Jinping, dihadiri pemimpin dari 37 negara serta wakil Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) dan Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF).

Xi dalam ucapannya turut mengemukakan cadangan mengenai pembangunan bersama Jalur dan Laluan pada masa depan.

Beliau menyuarakan harapan agar sinergi ditambah untuk menyelaraskan Inisiatif Jalur dan Laluan (BRI) dengan Agenda 2030 Pembangunan Mampan PBB serta piawaian, peraturan dan praktik yang diiktiraf sejagat.

Katanya, penyelarasan pertumbuhan ekonomi, pembangunan masyarakat serta perlindungan alam sekitar juga perlu diberi perhatian.

China menanti-nantikan usaha sama bagi mengenal pasti prioriti kerjasama, menyasarkan kesalinghubungan lebih rapat dalam segenap aspek.

Dalam pada itu, negara-negara terlibat hendaklah berganding bahu menggalakkan pembangunan bersepadu termasuk yang berkaitan infrastruktur, perindustrian, ekonomi dan kesejahteraan rakyat.

Di samping menekankan perlunya mekanisme kerjasama diperkukuh dan perkongsian saling hubung dipupuk, Xi menyeru sinergi dilakukan untuk membina ekonomi dunia yang terbuka dan menentang amalan perlindungan.

Beliau mahu langkah diambil untuk mempertingkat penyelerasan BRI dengan agenda pembangunan serantau dan antarabangsa demi manfaat semua.

Lantaran itu, Xi yakin melalui kerjasama semua pihak, sidang meja bulat kali ini akan membuahkan lebih banyak hasil sekali gus memangkin kerjasama BRI dan memberi sumbangan kepada pembentukan komuniti berkongsi nasib sesama insan. 
张弘