Qizai, satu-satunya panda berwarna coklat dan putih yang dipelihara manusia membuat kemunculan awam sulungnya di taman sains Pusat Penyelidikan Pembiakan Panda Gergasi Qinling yang terletak di provinsi Shaanxi China baru-baru ini.
Pusat penyelidikan Qinling itu merupakan yang ketiga terbesar di China selepas pusat Wolong dan pusat Chengdu di provinsi Sichuan.
Sekarang, terdapat 32 ekor panda gergasi dipelihara di situ.
Qizai, yang bermakna anak ketujuh dalam bahasa Mandarin, dibuang oleh ibunya dan ditemui di sebuah kawasan perlindungan alam di provinsi Shaanxi pada November 2009.
Selepas diselamatkan oleh saintis dan doktor haiwan, Qizai yang berumur hanya satu bulan itu kembali normal dan tinggal di pusat pembiakan itu.
Dipilih sebagai calon dalam program pembiakan tahun ini, Qizai turut diberi makanan penuh khasiat setiap hari, termasuk rebung segar yang jarang ditemui pada awal musim panas ini.
Menurut penjaga pusat itu, Qizai akan diberi rebung segar sebanyak 100 kilogram setiap hari.
Untuk rekod, panda gergasi berwarna coklat pertama di dunia ditemui di pergunungan Qinling pada tahun 1985.
Selain panda gergasi, terdapat juga haiwan berharga dari gunung Qinling, seperti monyet berhidung pendek dan terjungkit, “takin Qinling” dan sekendi berjambul boleh dilihat di taman pusat tersebut.