China, ASEAN Komited Pertingkat Lagi Hubungan

2021-06-08 11:17:36  CRI
Share with:

Mesyuarat khas menteri luar bagi memperingati ulang tahun ke-30 hubungan dialog China-ASEAN berlangsung di Chongqing pada Isnin.

Ahli Dewan Negara China merangkap Menteri Luar, Wang Yi ketika berucap dalam mesyuarat itu berkata China dan ASEAN telah menjadi rakan dagang paling besar, rakan kerjasama paling konotatif dan rakan strategik paling dinamik menerusi usaha bersama sepanjang tiga dekad lalu.

Beliau turut mengemukakan cadangan dalam enam perkara bagi mempertingkat perkongsian strategik China-ASEAN ke tahap lebih tinggi.

Pertama, memperkasakan kerjasama memerangi pandemik COVID-19. China akan terus menyediakan vaksin COVID-19 kepada negara ASEAN dengan semampu boleh, selain mempergiat kerjasama dalam penyelidikan, pengeluaran dan program inokulasi vaksin.

Kedua, menjana rejuvenasi ekonomi bagi menyokong Rangka Kerja Pemulihan Komprehensif ASEAN (ACRF).

Ketiga, memperkasakan komunikasi strategik antara pucuk pimpinan dan mengadakan perbincangan untuk menaiktarafkan hubungan China-ASEAN kepada perkongsian strategik komprehensif.

Keempat, memuktamadkan Kod Tatalaku di Laut China Selatan (CoC) seawal mungkin. Dalam pada itu, China bersedia mempergiat dialog dan rundingan dengan pihak-pihak yang berkepentingan bagi mengendalikan percanggahan pendapat dengan baik dan memperkukuh lagi kesalingpercayaan.

Kelima, mempertahankan multilateralisme. Negara-negara serantau perlu menjunjung prinsip Piagam Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan bersama-sama memelihara order yang berasaskan undang-undang antarabangsa.

Keenam, bersama menyemarakkan nilai Asia sambil mempertingkat saling belajar antara tamadun berbeza serta interaksi sosiobudaya.

Menteri-menteri luar negara ASEAN dalam mesyuarat itu menyifatkan hubungan dialog dengan China antara yang paling penting dan bernas, sehingga menjadi tonggak utama kepada kedamaian dan kemakmuran serantau.

Mereka turut menyatakan kesediaan untuk melaksanakan dengan bersungguh-sungguh Wawasan Perkongsian Strategik ASEAN-China 2030 dan Pelan Tindakan Perkongsian Strategik untuk Kedamaian dan Kemakmuran (2021-2025), bagi mengintensifkan penyelarasan strategi pembangunan dan melonjakkan hubungan kedua-dua pihak ke tahap lebih tinggi.

张哲