Negara Subrantau Sepakat Perkasa Kerjasama Lancang-Mekong

2021-06-09 11:30:34  CRI
Share with:

China komited bersama-sama negara di lembangan Sungai Mekong berkongsi peluang pembangunan dan menangani cabaran, di samping  berganding bahu ke arah membina komuniti berkongsi nasib Sungai Lancang-Mekong.

Komitmen itu dizahirkan Ahli Dewan Negara China merangkap Menteri Luar, Wang Yi dalam Mesyuarat Menteri Luar ke-6 Kerjasama Lancang-Mekong (LMC) yang berlangsung di Chongqing pada Selasa.

Beliau berkata selaku mekanisme kerjasama subrantau model baharu, LMC telah menyaksikan perkembangan pesat  sehingga membuahkan hasil yang memberangsangkan dalam tempoh lima tahun lalu.

Wang turut membentangkan enam cadangan mengenai tumpuan kerjasama itu pada fasa seterusnya.

Cadangan tersebut melibatkan usaha sama memerangi pandemik COVID-19 dan memulihkan ekonomi, serta kolaborasi berkaitan sumber air dan kerjasama pragmatik membabitkan kawasan setempat.

Beliau turut menekankan pentingnya menyuburkan persahabatan dalam kalangan rakyat dan menyempurnakan mekanisme kerjasama berkenaan.

“China akan terus menyediakan bantuan vaksin COVID-19 dan barang perubatan kepada negara-negara Sungai Mekong,” ujarnya.

Menteri-menteri luar negara Sungai Mekong sependapat, kerjasama Lancang-Mekong bermanfaat untuk merungkai cabaran yang dihadapi bersama.

Mereka juga menyatakan kesediaan untuk giat menyelaraskan strategi pembangunan, memperkasakan kesalinghubungan infrastruktur, sambil terus meneroka kerjasama dalam bidang pendidikan, belia dan kawasan setempat.

张哲