Sembilan ekor ikan paus kepala tembikai diselematkan kelmarin setelah terkandas untuk beberapa jam di kawasan air dangkal pantai Zhejiang, timur China.
Menurut laporan, polis tempatan menerima panggilan pada pukul 8.00 pagi Selasa bahawa 12 ekor ikan paus ditemui beberapa ratus meter dari pantai bandar Linhai, Zhejiang.
Polis kemudiannya mengesahkan tiga ekor daripadanya mati sebelum pasukan bomba dan pegawai jabatan pentadbiran maritim dikerahkan ke lokasi untuk membawa sembilan ekor ikan paus ke tempat perlindungan sementara waktu.
Naib Ketua Pasukan Penguatkuasa Undang-undang Maritim dan Perikanan Bandar Taizhou, He Qingxian memaklumkan, antara sembilan ekor ikan paus itu, dua daripadanya ditemukan dalam keadaan buruk dan seterusnya dibawa ke Taizhou Ocean World untuk rawatan profesional.
Sementara itu, difahamkan dua lagi paus turut menunjukkan tanda stabil setelah menjalani pemeriksaan pakar dan kemudiannya dilepaskan ke dalam laut antarabangsa.
Dalam pada itu, lima lagi paus dilaporkan berada dalam keadaan kurang stabil dan telah dipindah ke kolam pembiakan Syarikat Makanan Laut Hongye untuk rawatan sementara waktu.
Bagi memastikan kesemua paus itu kekal bernyawa, pakar dan penyelamat turut memantau suhu air selain meletakkan blok ais supaya mencapai 35 darjah Celsius.
Dimaklumkan, ikan paus tersebut berkemungkinan berada terlalu dekat dengan pantai susulan untuk mengelak daripada diganggu bunyi bising motor enjin perahu, selain terumpan oleh makanan yang berhampiran.