Xinjiang Sedia Terima Puncak Pelancongan

2021-07-14 10:48:25  CRI
Share with:

Wilayah Autonomi Uygur Xinjiang di barat laut China bersiap untuk menyambut puluhan ribu pelancong ketika musim pelancongan sekarang ini seiring situasi pandemik COVID-19 yang semakin mereda.

Grand Bazaar di Urumqi, ibu kota wilayah Xinjiang merupakan antara destinasi pelancongan terkenal dan menarik pelancong dari seluruh China dengan keindahan bangunan eksotik, keunikan budaya serta keenakan makanan.

Sejak Jun lalu, bazar itu menerima 50,000 hingga 60,000 pelancong setiap hari.

Menurut Zhang Haifeng yang merupakan pengurus sebuah kedai buah-buahan di situ, keadaan perniagaan semakin baik yang turut didorong oleh perkembangan sektor pelancongan secara pesat.

Bagi Zhang, jumlah kunjungan pelancong untuk kedainya sahaja meningkat dari 300 hingga 500 kepada 2,000 hingga 3,000 pada hari Isnin hingga Khamis selain mampu mencapai angka 5,000 pada hujung minggu.

Dalam pada itu, pihak pengurus bazar dan pihak berkuasa percukaian tempatan bersama-sama menyediakan pelbagai dasar keutamaan kepada peniaga untuk memberi dorongan perniagaan.

Seorang pemilik kedai, Memet Eli Qasim berkata, ketika wabak COVID-19 melanda, perniagaannya menikmati pengecualian caj pengurusan harta tanah selama empat bulan.

Jelasnya, pihaknya tidak perlu membayar cukai sehingga jumlah jualan meningkat kepada lebih RMB150 ribu (RM88.2 ribu) sebulan, sekali gus dapat mengurangkan kos pengurusan.

Menurut jabatan budaya dan pelancongan Xinjiang, jumlah pelancong ke wilayah itu mencecah 88 juta orang pada setengah tahun pertama tahun ini.

徐国玮