Laut China Selatan bukan padang pergelutan kuasa besar dan situasi keamanan dan kestabilan serantau tidak diizinkan terjejas negara dari luar rantau ini.
Demikian dinyatakan Menteri Luar China, Wang Yi ketika menghadiri Mesyuarat Menteri-Menteri Luar China-ASEAN (10+1) yang diadakan secara maya semalam.
Wang Yi berkata, China akan terus memenuhi komitmen dalam Deklarasi Tatalaku Pihak-pihak Berkepentingan di Laut China Selatan(DOC), berpegang pada prinsip tentang pertikaian perlu diselesaikan secara rundingan damai antara negara penuntut, berusaha untuk mengelakkan tindakan sepihak yang meruncingkan pertikaian dan perselisihan, selain memperkasa kerjasama pragmatik dalam bidang maritim.
Menurut Wang Yi, China dan ASEAN memperlihatkan hasrat bersama untuk memelihara keamanan dan kestabilan di Laut China Selatan dengan mengadakan sidang pegawai kanan di bandar Chongqing untuk melaksanakan DOC, mencapai persetujuan untuk memulihkan rundingan mengenai pembentukan Kod Tatalaku di Laut China Selatan(COC) dan juga mengadakan mesyuarat khas secara maya dan sidang kumpulan kerja bersama.
Pada sidang kali ini pula, COC dibacakan bagi kali kedua secara dalam talian dan para peserta sudah pun mencapai kata sepakat tentang bahagian kata pendahuluan. Ini menunjukkan aspirasi politik pelbagai pihak untuk terus mendorong rundingan di sebalik penularan pandemik COVID-19 dan gangguan dari luar.
Wang Yi menegaskan, hak dan kepentingan China di Laut China Selatan selaras dengan undang-undang antarabangsa termasuk Konvensyen PBB Mengenai Undang-Undang Laut (UNCLOS).
Menurutnya, dengan usaha bersama China dan ASEAN, situasi di kawasan perairan itu kekal stabil dan kebebasan navigasi dan penerbangan terjamin di sisi undang-undang.