Vaksin China Bantu Brunei Tangani Wabak - Erywan

2021-09-14 15:16:03  CRI
Share with:

Vaksin COVID-19 kumpulan kedua yang disumbangkan China selamat tiba di lapangan terbang Brunei Darussalam tengah malam Ahad lalu.

Ketika berucap pada majlis penyerahan vaksin tersebut, Duta besar China ke Brunei, Yu Hong mengulas bahawa ia secara tidak langsung memperlihat hubungan persahabatan yang mendalam dan sokongan padu China dalam operasi memerangi wabak di Brunei.

Pada masa sama, beliau turut menyatakan kesudian China untuk terus menghulurkan bantuan kepada Brunei bagi mengawal penularan wabak dan melindungi kesihatan rakyat Brunei.

Untuk rekod, ia merupakan kali kedua China menyumbangkan vaksin buatan syarikat Sinopharm kepada Brunei sejak Februari lalu.

Sementara itu, Menteri Luar Negeri II Brunei, Erywan Mohd Yusof yang turut hadir pada majlis tersebut turut menzahirkan penghargaan atas bantuan tersebut mewakili kerajaan dan rakyat Brunei.

Menurutnya, vaksin sumbangan China sebelum ini memainkan peranan yang penting untuk melawan wabak di negaranya.

Dalam pada itu, ketika menyentuh tentang ulang tahun ke-30 hubungan diplomatik antara China dan Brunei tahun ini, Erywan menyifatkan ia sebagai satu pencapaian baharu bagi hubungan persahabatan antara kedua-dua negara.

"Brunei dan China  yang telah menjalin perkongsian strategik  akan terus memperkasakan pertukaran dalam bidang perdagangan, pertanian, perikanan dan sosiobudaya serta mengekalkan kerjasama rapat dalam hal ehwal serantau dan antarabangsa," jelas beliau.

Pada Ogos, Brunei dilanda wabak gelombang baharu dengan ribuan kes positif direkodkan yang sekali gus menyaksikan permintaan terhadap vaksin meningkat mendadak.

Sehingga Ahad lalu, sebanyak 4,163 kes disahkan, dengan jumlah kematian mencatat 25 orang, manakala 1,491 individu masih menerima rawatan.

徐国玮