China Sokong MC12 Capai Kejayaan

2021-10-10 16:27:04  CRI
Share with:

Kejayaan Persidangan Menteri-Menteri Pertubuhan Perdagangan Dunia (WTO) ke-12 (MC12) amat penting bagi pertubuhan itu sendiri, malah pembangunan ekonomi sejagat.

Demikian ujar Menteri Perdagangan China, Wang Wentao semasa bersidang secara maya dengan Ketua Pengarah WTO, Ngozi Okonjo-Iweala untuk membincangkan kerja persiapan MC12 serta pembaharuan WTO, Jumaat.

Wang berkata, pihak-pihak terlibat harus menyegerakan kerja-kerja berkenaan dengan memfokuskan bidang-bidang yang berpotensi mencapai konsensus.

MC12 diharap memberikan isyarat positif yang menyokong sistem perdagangan multilateral, mencapai perjanjian  berhubung subsidi perikanan, membuat keputusan tentang pengecualian hak harta intelek vaksin COVID-19, serta membawa kemajuan dalam isu-isu penting seperti pertanian dan pembaharuan Badan Rayuan WTO.

Dalam pada itu, China akan terus aktif menyertai perbincangan berkenaan dan memainkan peranan konstruktif dalam proses persiapan persidangan tersebut.

Tahun ini merupakan ulang tahun ke-20 keanggotaan China dalam WTO.

Wang berkata, selaku pembela teguh sistem perdagangan multilateral, China akan terus menyokong kerja Okonjo-Iweala dan sekretariat WTO, di samping mempertahankan kewibawaan dan keberkesanan WTO.

Sementara itu, Okonjo-Iweala menyampaikan penghargaan atas peranan China dalam kerja WTO serta usahanya dalam menggalakkan rundingan subsidi perikanan dan kolaborasi melawan wabak COVID-19 di peringkat global. 

徐国玮