Vietnam membuka semula pulau Phu Quoc kepada pelancong asing, sebagai langkah untuk menghidupkan kembali ekonomi domestik yang terjejas akibat penularan COVID-19.
Pulau peranginan itu menerima kedatangan pelancong antarabangsa kumpulan pertama pada Sabtu, buat kali pertama dalam tempoh hampir dua tahun.
Berpandukan peraturan kawalan wabak Vietnam, pelancong antarabangsa yang lengkap diinokulasi tidak perlu dikuarantin, namun mereka hanya diizinkan bergerak di Vinpearl Resort di Phu Quoc dan perlu menjalani dua kali ujian saringan COVID-19 semasa berada di pulau itu.
Selain Phu Quoc, Hoi An dan Da Nang juga telah dibuka kepada pengunjung asing dengan syarat tertentu.
Sebelum ini, beberapa negara Asia Tenggara seperti Thailand, Indonesia dan Kemboja berturut-turut melonggarkan sekatan kemasukan warga asing yang dilaksanakan bagi mengawal penularan COVID-19.