Xi: Hubungan China-Rusia Lasak dan Dinamik

2021-12-15 20:06:45  CRI
Share with:

Xi: Hubungan China-Rusia Lasak dan Dinamik_fororder_1128167133_16395733961331n

China dan Rusia komited mengintensifkan kerjasama untuk menjaga kepentingan teras kedua-dua negara dan menegakkan kesaksamaan dan keadilan antarabangsa.

Demikian ujar Presiden China, Xi Jinping dan rakan sejawatnya dari Rusia, Vladimir Putin dalam pertemuan secara maya di sini, pada Rabu.

Presiden China Xi Jinping menyatakan, hubungan China-Rusia tetap dinamik meskipun selepas mendepani pelbagai ujian serta pergolakan akibat pengaruh perubahan pada dunia dalam seratus tahun lalu dan penularan pandemik COVID-19.

"Saya dan Presiden Putin masih mengekalkan komunikasi dan penyelarasan terhadap isu-isu utama selain turut menggariskan hala tuju perkembangan dua hala secara bersama," ujar Xi.

Difahamkan, kedua-dua pihak bersetuju untuk melanjutkan Perjanjian Kerjasama Jiran Baik dan Persahabatan China-Rusia dengan suntikan elemen seperti konotasi bercirikan era terkini.

Xi menyatakan, kerjasama pragmatik segenap aspek antara China dan Rusia turut mendatangkan peluang yang kondusif, sama ada dalam bidang politik mahupun ekonomi.

Untuk rekod, perdagangan dua hala pada tiga suku pertama tahun ini menokok USD100 bilion (RM423 bilion) buat pertama kalinya dan dijangka akan mencipta rekod baharu bagi sepanjang tahun ini.

Kedua-dua negara ini juga secara aktif mempamerkan tanggungjawab dalam menyatupadukan masyarakat antarabangsa untuk mengharungi pandemik serta memperjelas maksud sebenar bagi takrifan demokrasi dan hak asasi manusia.

Xi: Hubungan China-Rusia Lasak dan Dinamik_fororder_1128167133_16395733962141n

Dalam pada itu, Putin menyifatkan hubungan Rusia-China sebagai teladan hubungan antarabangsa pada abad ke 21.

"Ia mencerminkan tahap kepercayaan strategik yang tinggi dan menjadi contoh dalam pewujudan situasi menang-menang berdasarkan prinsip tidak mencampuri urusan dalaman dan menghormati kepentingan antara satu sama lain," jelas Presiden Rusia itu.

Putin berkata, Rusia bersedia untuk terus mempergiat kerjasama dengan China dalam mekanisme pelbagai hala yang melibatkan Pertubuhan Kerjasama Shanghai dan Majlis Keselamatan PBB, menyokong kerja China sebagai presiden negara bergilir BRICS tahun depan, dan secara tegas menentang sebarang campur tangan  dalam hal ehwal dalaman dengan berniat mengekang pembangunan kedua-dua negara.

Tambah beliau, pihaknya akan terus menjaga keselamatan dan kestabilan strategik antarabangsa, selain komited untuk memperkukuh komunikasi dengan China dalam isu penjagaan hak demokrasi sebenar pelbagai negara.

Dalam perkembangan lain, Presiden Putin turut dijadual datang ke Beijing bagi menghadiri majlis pembukaan Sukan Olimpik Musim Sejuk pada awal tahun depan dan kedua-dua pemimpin tersebut dijangka akan memanfaatkan peluang itu untuk membuka lembaran baharu hubungan dua hala pada era pasca pandemik.

曹捷