Perdagangan China-EU Melalui Xinjiang Langkau RMB260 Bilion

2021-12-28 15:11:58  CRI
Share with:

Jumlah keseluruhan perdagangan antara China dengan Kesatuan Eropah (EU) melalui pelbagai pintu sempadan di wilayah Xinjiang untuk 11 bulan pertama 2021 direkodkan sebanyak RMB261.82 bilion (RM171.81 bilion), iaitu peningkatan 30 peratus berbanding tempoh yang sama tahun lepas.

Menurut Kastam Urumqi pada Isnin, daripada jumlah tersebut, eksport China melalui pintu sempadan di wilayah Xinjiang menyumbang sebanyak RMB197.91 bilion (RM129.87 bilion), iaitu meningkat 27.7 peratus, manakala jumlah import pula mencatat RMB63.91 bilion (RM41.94 bilion) yang menyaksikan peningkatan 37.6 peratus.

Naib Pengarah Jabatan Analisis dan Statistiknya, Sun Tao memaklumkan, meskipun berada dalam situasi penularan wabak dan kemelesetan perdagangan global, namun pertumbuhan pesat dalam perdagangan bilateral masih dapat diwujudkan.

Jelas beliau, tiga faktor yang menjadi penyumbang adalah dorongan pertumbuhan iaitu daripada perkhidmatan kereta api kargo China-Eropah di melalui pintu sempadan di wilayah Xinjiang, produk permesinan dan peralatan berkaitan tenaga bersih.

Difahamkan, dalam tempoh 11 bulan pertama tahun ini, sejumlah 11,156 perjalanan kereta api kargo yang direkodkan melalui pintu sempadan di wilayah Xinjiang, iaitu meningkat 26.8 peratus untuk tempoh sama berbanding 2020.

Bagi jumlah keseluruhan berat kargo pula, ia dilaporkan turut mencecah 1.073 juta tan, atau meningkat 30.2 peratus berbanding tahun lalu, sementara perdagangan antara China dengan Jerman, Poland, Belanda, Perancis dan Hungary melalui pintu sempadan di wilayah Xinjiang memperlihatkan pertumbuhan yang ketara.

Dalam pada itu, produk permesinan yang dieksport ke EU menerusi Xinjiang dicatatkan bernilai RMB158.04 bilion (RM103.70 bilion) iaitu meningkat 32.9 peratus dari tahun ke tahun, dan turut menyumbang sebanyak 79.9 peratus dalam jumlah eksport keseluruhan.

 

Manakala, produk permesinan yang diimport China dari EU melalui pintu sempadan di wilayah Xinjiang meningkat 29.2 peratus, iaitu meliputi 65.5 peratus dalam jumlah import keseluruhan yang melalui wilayah itu.

高蕾