Perdana Menteri China, Li Keqiang dan rakan sejawatnya dari Rusia, Dmitry Medvedev bersama-sama mempengerusikan pertemuan berkala perdana menteri China-Rusia ke-21 di St. Petersburg petang semalam.
Li berkata, China dan Rusia merupakan negara jiran yang terbesar dan rakan kerjasama strategik komprehensif.
Hubungan antara kedua-dua negara berkembang dengan stabil dan sihat, manakala kerjasama pragmatik diperkasakan secara berterusan.
China bersedia untuk bersama-sama dengan Rusia meningkatkan potensi kerjasama serta menjalinkan usaha sama dalam bidang tenaga nuklear awam, industri pembuatan kapal terbang dan pembinaan infrastruktur.
Peningkatan kerjasama dalam segmen perusahaan kecil dan sederhana (PKS), khususnya inovasi menjadi daya pendorong baharu bagi kerjasama antara kedua-dua negara pada masa akan datang.
Dmitry Medvedev pula berkata, tahun ini merupakan ulang tahun ke-20 terjalinnya hubungan rakan kerjasama strategik kedua-dua negara.
Kedua-dua negara perlu berganding bahu dan sokong-menyokong dalam rangka kerja pelbagai hala, antaranya termasuklah Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Kumpulan 20 (G20), Pertubuhan Kerjasama Shanghai (SCO) serta BRICS.