Sidang pertama Kongres Rakyat Kebangsaan (NPC) ke-13 China yang berlangsung di Beijing ditutup tirai dengan jayanya pagi tadi.
Xi Jinping yang sekali lagi dipilih sebagai Presiden China, menyampaikan ucapan pada majlis penutupan sidang tersebut.
Xi berkata, beliau akan bersungguh-sungguh melaksanakan tanggungjawab yang dipikul berdasarkan ketetapan perlembagaan, serta berkhidmat untuk rakyat dan menerima penyeliaan rakyat.
Beliau menekankan bahawa sosialis bercirikan China pada era baharu adalah milik semua warga negara ini. Asalkan wujudnya perpaduan dan rakyat sanggup berjuang bahu-membahu, tiada yang dapat menghalang bangsa China merealisasikan impiannya.
Kata beliau, jawatan presiden China satu tugas yang mulia dan membawa bersama tanggungjawab yang berat. Beliau akan sentiasa melaksanakan kewajipan yang ditetapkan oleh perlembagaan, taat setia kepada tanah air dan rakyat, membaktikan diri kepada rakyat dan menerima penyeliaan rakyat, agar memenuhi amanah yang diletakkan oleh para wakil NPC dan seluruh rakyat China.
Dalam ucapan beliau, perkataan "rakyat" banyak kali disebut. Xi mengingatkan semua penjawat awam tanpa mengira pangkat bahawa tanah air mereka adalah Republik Rakyat China, dan rakyat mesti diberi kedudukan paling penting di hati mereka. Mereka hendaklah berkhidmat dengan berjiwa rakyat dan berjuang demi kepentingan dan kesejahteraan rakyat.
Mewujudkan kebangkitan semula nusa dan bangsa adalah impian seluruh rakyat China. Bangsa China memiliki semangat dan daya cipta yang sukar ditandingi. Selama lebih 170 tahun lalu, rakyat China bertungkus-lumus berjuang untuk mencapai impian itu. Pada masa ini, rakyat China berada paling dekat serta memiliki keyakinan dan keupayaan untuk merealisasikan aspirasi tersebut. Xi percaya bahawa matlamat itu nescaya akan dicapai asalkan seluruh rakyat China seramai lebih 1.3 bilion menyimpan hasrat yang sama.
Beliau berkata, semua hak negara adalah milik rakyat. China akan tampil sebagai negara yang kuat sekiranya rakyat yakin diri terhadap masa depan negara.
Pandangan dan sokongan serta kebahagiaan rakyat menjadi kayu ukur bagi sebarang kerja dalam pentadbiran negara. Kepentingan sebenar rakyat mesti didahulukan jika mahu mereka berkongsi kemakmuran yang dibawa oleh kebangkitan semula nusa dan bangsa.
Kongres kebangsaan ke-19 Parti Komunis China (PKC) tahun lalu telah melakar cetak biru komprehensif bagi mewujudkan masyarakat kaya secara menyeluruh, negara sosialis moden yang kuat, serta kebangkitan semula nusa dan bangsa. Semua pihak perlu komited untuk merealisasikan visi tersebut.
Lebih banyak langkah pragmatik perlu diambil untuk memperkasakan pembaharuan dan keterbukaan, meningkatkan pembangunan demokrasi sosialis, mendorong modenisasi sistem pentadbiran negara, mempercepat pembinaan budaya sosialis, menjamin dan meningkatkan taraf hidup rakyat, membasmi kemiskinan, mewujudkan kesamarataan masyarakat dan menggalakkan pembinaan tamadun ekologi.
Selain itu, Tentera Pembebasan Rakyat China (PLA) tetap di bawah pimpinan PKC, dan perlu dibangunkan hingga menjadi angkatan yang bertaraf dunia.
Pelbagai dasar dan prinsip penting seperti "satu negara dua sistem", "penduduk Hong Kong mentadbir Hong Kong", "penduduk Makau mentadbir Makau", dasar satu negara dan "persepakatan 1992" perlu dilaksanakan dengan menyeluruh dan tepat.
Xi berkata, mempertahankan kedaulatan negara dan keutuhan wilayah serta mewujudkan penyatuan semula tanah air dengan sepenuhnya adalah hasrat bersama dan kepentingan asas seluruh rakyat China. Sebarang tindakan yang berbaur sentimen pemisah akan gagal dan diberi balasan sewajarnya. Rakyat China mempunyai tekad kukuh serta keyakinan dan keupayaan untuk menangkis anasir yang hendak memecah-belahkan perpaduan negara. Wilayah negara biar tanah sekangkang kera sekalipun mesti dipertahankan.
Xi meneruskan ucapannya dengan menyatakan bahawa China tidak akan sekali-kali mengejar pembangunan hingga menyebabkan kepentingan negara lain terjejas. Pembangunan China bukanlah ancaman kepada mana-mana negara lain. China tidak akan mengejar hegemoni, dan akan sentiasa membuat sumbangan terhadap kedamaian dan pembangunan seluruh umat manusia.
Dalam segala urusan dunia, China akan sentiasa menitikberatkan keadilan dan kesaksamaan. China berpendirian bahawa hal ehwal dunia perlu dikendalikan bersama oleh semua negara tanpa didominasi mana-mana pihak.
China akan terus menggalakkan pelaksanaan inisiatif "Jalur dan Laluan" (B&R) di samping mengukuhkan interaksi dan kerjasama dengan negara-negara lain, agar hasil pembaharuan dan pembangunan China membawa manfaat kepada insan sejagat.
China juga akan terus terlibat dengan aktif dalam pembaharuan dan pembinaan tadbir urus global, dan menyumbangkan kebijaksanaan, pelan dan tenaga untuk membina dunia yang kekal damai, selamat, makmur, inklusif, bersih dan indah.
Dalam ucapannya, Xi turut menyebut tanggungjawab yang dipikul PKC untuk mengetuai rakyat menjayakan revolusi sosial.
PKC harus sentiasa dekat dengan rakyat, dan berkhidmat dengan semangat berat sama dipikul, ringan sama dijinjing. Di bawah pimpinan PKC selama hampir 70 tahun, China semakin kuat dan makmur.
Kata Xi, era baharu ini milik semua rakyat. Asalkan rakyat China bersatu padu dan berjuang tanpa mengenal erti penah dan lelah, tiada yang dapat menghalang Impian China menjadi kenyataan.