Cari:
Abdul Ghani Abu: Suara Takbir yang Menyatukan
2011-11-08 11:00:18 CRI Cetak


Rombongan Kembara Muslim bersama-sama keluarga Haji Ma

Selesai ibadah di masjid, rombongan kami dibawa ke rumah masyarakat etnik Hui untuk melihat sendiri sambutan dan suasana aidiladha. Sungguh teruja, seronok dan memberikan pengalaman baharu yang pasti tidak akan dilupakan. Penulis mengunjungi rumah Tuan Haji Ma Hamlin, 71 tahun di Kampung Baru Sahangqiao. Beliau yang merupakan pesara guru tinggal bersama-sama isteri Qiang Xuxia, 68 tahun dan mempunyai lima orang cahaya mata, dua lelaki dan tiga perempuan. Pada setiap kali musim perayaan aidilfitri dan aidiladha, lima generasinya akan bersama-sama berkumpul. Begitulah budaya masyarakat China yang memelihara keutuhan generasinya.


Lembu korban di rumah Haji Ma

Bersempena sambutan Aidiladha ini, keluarga besar ini melakukan ibadah korban seekor lembu. Harganya 8000 Yuan! Di samping itu, terdapat empat makanan istimewa yang dihidangkan, iaitu Sanzi (mi gulung yang digoreng), Youxiang (kuih berbentuk bulat), Gouzi dan Youguan. Bahan mentah utama menghasilkan makanan tersebut ialah tepung gandum, telur, madu dan minyak bijan. Makanan ini merupakan warisan etnik Hui. Menurut anak Haji Ma, Ma Zhi Wei, 46 tahun (tinggal di Yinchuan), pada masa dahulu makanan ini amat istimewa dan merupakan makanan mewah. Hal ini demikian kerana etnik Hui pada masa itu miskin, makanan ini pula bertahan lama. Oleh sebab itu dihidangkan pada masa perayaan. Lama-kelamaan makanan ini terus menjadi warisan wajib etnik Hui.


Antara hidangan istimewa yang disediakan oleh keluarga Haij Ma

Layanan keluarga Haji Ma amat istimewa, selepas kudapan, keluarga ini memasak untuk makan tengah hari pula. Sedang kami menunggu menu tengah hari, penulis diberitahu imam yang bertanggungjawab untuk melakukan sembelihan korban telah datang. Penulis segera ke kawasan lapang di depan rumah menyaksikan ibadah korban. Seekor lembu tumbang dikorbankan menjadi tanda kesetiaan umat Islam melaksanakan tuntutan agama sebagai menghayati semangat korban yang dilakukan oleh Nabi Ibrahim AS ke atas anaknya Nabi Ismail AS. Suasana amat menarik kerana kawasan perumahan ini pada masa dahulu merupakan kawasan kampung, kemudian arus pembangunan dan peningkatan ekonomi masyarakat setempat, kampung yang lama dirobohkan dan dibina kawasan baharu yang lebih moden. Keluarga Haji Ma membawa colok semasa ibadah korban hendak dilakukan. Mereka bertakbir bersama-sama imam dan kemudian imam menyembelih lembu. Sekali lagi, penulis menguatkan fahaman bahawa adat tidak terhalang selagi tidak bertentangan dengan agama.


Majlis tahlil di rumah Haji Ma

Usai ibadah korban, datang pula kumpulan imam yang mengetuai solat sunat Aidiladha di masjid bersama-sama enam orang jawatankuasa masjid mengadakan bacaan tahlil dan selawat (sama seperti marhaban, berzanji dan tahlil di kampung penulis). Yang menariknya, selepas habis majlis tahlil, Haji Ma memberikan saguhati kepada imam dan rombongannya. Penulis dan rakan wartawan dari Malaysia, Noraini dan Kurniawati, serta wartawan dari Indonesia, ibu Arni, turut tidak ketinggalan menerima "duit raya" sebanyak 50 Yuan! Rezeki aidiladha di Ningxia. Bisik penulis kepada Kak Noraini, "Kita simpan duit ini buat ibu duit!"


Penulis dan cucu Haji Ma

Yang datang pasti akan pergi, begitulah rombongan penulis. Berat rasanya hendak melangkah meninggalkan rumah Haji Ma kerana layanan mereka begitu mesra dan istimewa. Tidak terungkap dengan kata-kata apatah lagi mencoretkannya. Hanya Allah SWT sahaja yang dapat membalasnya. Moga pertemuan dengan keluarga Haji Ma mengukuh dan memperluas persaudaraan Muslim sejagat. Moga Haji Ma dan keluarga sentiasa dimurahkan rezeki oleh Allah SWT.

1 2 3 4 5
   Webradio
Siaran Bahasa Melayu:
Jadual Siaran

• Burung Sambut Ketibaan Musim Bunga

• Pemandangan Lautan Awan Seindah Lukisan
Lagi>>
© China Radio International.CRI. All Rights Reserved.
16A Shijingshan Road, Beijing, China