Usai sesi wawancara dengan Dr. Lim, penulis dan rombongan wartawan dari Malaysia terus menikmati hidangan malam pada pukul 5.30 petang. Nampak seperti awal, tetapi keadaan di luar hotel penginapan sudah gelap! Sekali lagi, hidangan malam amat istimewa. Ada sayur, ikan, daging kambing, daging lembu, udang dan buah-buahan. Aduh, di mana hendak letak perutku lagi!
Penulis di depan dewan Teater Rakyat Ningxia
Antara persembahan kebudayaan
Kekenyangan ditambah pula dengan hiburan malam. Malam ini penulis dan Fuad, serta empat wartawan Indonesia bersama-sama menonton persembahan kebudayaan Xinjiang/Ningxia di dewan Teater Rakyat Ningxia, tidak berapa jauh dari hotel penginapan. Pergi menaiki bas, pulang jalan kaki sahaja dengan kesejukan malam suhu sehingga tiga darjah Celcius! Persembahannya amat menarik dan menghiburkan. Gemersik suara penyanyi dari Xinjiang memukau penonton. Tidak cukup dua lagu, ditambah satu lagu lagi oleh penyanyi yang penulis dengar-dengar namanya, Armad. Persembahan muzik dan tarian etnik Hui juga tidak ketinggalan. Penontoh juga dihiburkan dengan persembahan dari kawasan Mongolia dan Tibet.
Penulis bersama-sama Ibu Arni dan Bapak Subhan di dewan Teater Rakyat Ningxia
Pendek kata, lawatan tiga hari di Xinjiang dan tiga hari Ningxia ini disimpulkan dengan persembahan etnik yang ditunggu-tunggu oleh penulis. Esok pagi penulis akan berangkat pulang ke Beijing. Makanya, tercatatlah sejarah peribadi penulis menjejak laluan sutera, bukan lagi menaiki unta, tetapi melihat sendiri dengan mata arus modenisasi yang pesat di kedua-dua wilayah ini. Teknologi mendekatkan jarak manusia. Jika generasi penulis mengenalinya dengan laluan sutera, bagaimanakah generasi puluhan dan ratusan tahun hadapan menggelar wilayah ini pula? Adakah mereka setia lagi pada sejarah, adakah mereka bersatu atas satu suara takbir dan adakah mereka miliki sejarah itu lagi?
Bersambung ...
(Abdul Ghani Abu, editor Dewan Siswa DBP)