Hari Qing Ming merupakan satu perayaan tradisional China yang berasal dari zaman Dinasti Zhou, iaitu lebih 2500 tahun yang lalu. Biasanya Hari Qing Ming jatuh pada 4, 5 atau 6 hb April setiap tahun. Qing Ming bagi tahun ini jatuh pada 4 April nanti.
Dalam budaya tradisional China, Qing Ming merupakan hari untuk menziarahi tempat pengebumian generasi dahulu seperti nenek moyang, ahli keluarga, saudara mara dan orang yang tersayang. Biasanya orang China akan membersihkan kubur dan menyediakan kuih-muih, buah-buahan dan makanan untuk diletakkan di depan batu nisan.
Walaupun cara menziarahi kubur adalah berlainan bagi penduduk di tempat yang berlainan di China, namun inti bagi tradisi ini adalah sama, iaitu menyampaikan perasaan rindu dan hormat kepada mereka yang sudah tiada lagi di dunia.
Hari Qing Ming telah diberikan cuti umum sehari oleh kerajaan China demi melindungi warisan budaya bukan benda bangsa China. Sebenarnya bukan warga China sahaja yang masih mengamalkan tradisi menziarahi dan membersihkan kubur pada Hari Qing Ming, orang keturunan Cina yang bermastautin di mana-mana tempat di seluruh dunia juga mewarisi dan mengekalkan tradisi ini.
Topik ini akan dibualkan dalam ruangan Suara Sutera pada 3 April 2013 nanti. Saudara dialu-alukan mengikuti ruangan tersebut dan ikut serta dalam perbualan mengenai topik tersebut. Komen atau pandangan saudara boleh dihantar ke mal@cri.com.cn