Cari:
Melakar Impian Pejuang Bahasa Melayu China - Profesor Wu Zong Yu
2013-10-08 12:35:57 CRI Cetak

Sejak dari awal penubuhan Pusat Bahasa Melayu di China, Prof. Wu berusaha gigih dan terus-menerus berperanan mengembangkan pengajaran bahasa Melayu dan telah menghasilkan ramai sarjana pelapis dengan hampir seribu orang anak didik yang telah bertugas sebagai Pegawai Diplomatik, Jurubahasa, Penterjemah, Penyiar dan tokoh korporat. Tahun 2013 ini, menandakan bahawa genapnya 52 tahun usaha-usaha Prof. Wu mengupayakan pengembangan bahasa dan persatuan Melayu di negara China.

Kisah perjuangan dan usaha murni Prof. Wu dalam menyediakan bahan-bahan pengajaran bahasa Melayu dalam keadaan tiada sumber dan komuniti pengguna bahasa itu cukup menarik meskipun perit pada diri beliau. Pada peringkat awalnya, buku-buku dan majalah dari Tanah Melayu tidak mungkin dibawa masuk ke negara itu disebabkan tiadanya hubungan diplomatik. Oleh sebab tidak memperoleh latar budaya bahasa Melayu, maka terjadi beberapa peristiwa lucu semasa beliau menyampaikan kuliah, apabila pelajarnya bertanya tentang makna ungkapan tertentu yang berkaitan dengan budaya seperti gula Melaka. Maka dengan selamba beliau menjawab bahawa itulah gula yang datang dari negeri Melaka, walaupun beliau sendiri tidak pasti akan makna sebenarnya. Demikian juga, apabila pelajarnya bertanya tentang makna bunga telur, beliau terus menjawab bahawa itulah bunga yang bentuknya seakan-akan telur. Kini peristiwa itu menjadi kenangan lucu yang tidak mungkin luput daripada ingatannya, sebagai tanda susah payahnya mengajarkan bahasa Melayu tanpa sumber bahan pengajaran yang sempurna.

Buku pelajaran Bahasa Cina-Melayu terawal di China pada tahun 1961

Selama lebih daripada 25 tahun Prof. Wu telah mengajar bahasa Melayu di Negara China tanpa dapat melihat dan bergaul dengan orang Melayu sendiri. Beliau mengajar bahasa Melayu seolah-olah telah mengenali bangsa Melayu dan budayanya dengan begitu dekat. Padahal, melihat batang hidung orang Melayu pun tidak dirasainya sepanjang tempoh tersebut. Malah beliau mengagak-agak cara pertuturan dan struktur bahasa Melayu berdasarkan pengetahuannya tentang bahasa Indonesia. Beliau juga hampir setiap malam mendengar dan merakamkan siaran radio "Suara Malaya" yang menampilkan beberapa orang Melayu yang ada di negara itu. Kesulitan ini adalah disebabkan tiadanya hubungan diplomatik antara negara Malaysia dan China pada ketika itu.

Pada akhir Mei 1974, Perdana Menteri Malaysia kedua Tun Abdul Razak telah mengadakan kunjungan muhibbah ke Beijing atas undangan Zhou Enlai, Perdana Menteri Republik Rakyat China (RRC) ketika itu. Di akhir lawatan tersebut, terhasil sebuah resolusi persefahaman dan persetujuan bersama yang menyatakan bahawa Malaysia dan RRC telah sepakat untuk menjalinkan hubungan diplomatik antara kedua buah negara. Peristiwa tersebut juga merupakan tonggak sejarah yang sangat penting dalam hubungan antara kedua-dua negara kerana pada satu sudut lawatan itu melambangkan berakhir dari satu fasa dalam politik luar Malaysia. Pada sudut lain peristiwa ini juga menunjukkan keberhasilan China mencipta hubungan persahabatan yang akrab dengan negara jiran di Asia Tenggara setelah Revolusi Kebudayaan di China berakhir (Abdullah Dahana, 2002 :9-10).

Lawatan rasmi Tun Abdul Razak disambut meriah oleh rakyat China

Tun Abdul Razak di sambut oleh Zhou Enlai, Perdana Menteri Republik Rakyat China

Tun Abdul Razak memberikan ucapan kepada rakyat China di Dewan Besar Beijing

Selepas terjalinnya hubungan diplomatik Malaysia-China pada tahun 1974, baharulah keadaan berubah sedikit. Peluang keemasan mengenali bahasa dan budaya Melayu diperolehnya pada tahun 1987 bila mana Prof. Wu mendapat peluang untuk melawat Malaysia, iaitu menjadi Jurubahasa Rombongan Akrobatik China. Kelancaran bahasa Melayu Wu mendapat sambutan yang begitu meriah baik daripada rakyat mahupun daripada kerajaan Malaysia. Ini telah menambatkan hatinya untuk mendorong kemajuan dalam menjalinkan hubungan muhibah antara China dan Malaysia.

Pada tahun 1989, Prof. Wu telah dijemput menghadiri Kongres Bahasa Melayu Sedunia di Kuala Lumpur. Beliau telah membentangkan kertas kerja yang bertajuk `Pengajian Bahasa Melayu Tanpa Komuniti Bahasa' dan telah disambut baik. Selepas itu beliau telah diundang oleh Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan Malaysia untuk melawat kesemua negeri di Malaysia, termasuk Sabah dan Sarawak. Prof. Wu juga telah dijemput memberikan ceramah sebanyak 20 kali. Pada tahun itu juga beliau telah berbincang dengan Dato' Usman Awang dan Encik Tan Kai Hee untuk menubuhkan Persatuan Persahabatan China-Malaysia (PPCM) dan Persatuan Persahabatan Malaysia-China (PPMC). Di bawah usaha giat mereka akhirnya PPCM dan PPMC telah berjaya ditubuhkan.

1 2 3 4 5 6
Lihat juga
   Webradio
Siaran Bahasa Melayu:
Jadual Siaran

• Burung Sambut Ketibaan Musim Bunga

• Pemandangan Lautan Awan Seindah Lukisan
Lagi>>
© China Radio International.CRI. All Rights Reserved.
16A Shijingshan Road, Beijing, China