Pegawai kerajaan China dan Malaysia mengadakan pertemuan di Beijing semalam bagi membincangkan usaha menangani kehilangan pesawat MH370. Pertemuan itu dihadiri oleh Naib Menteri Luar China, Xie Hangsheng, Naib Ketua Pengarah Jabatan Pentadbiran Penerbangan Awam China, Xia Xinghua, Naib Datuk Bandar Beijing, Zhang Yankun dan utusan khas Perdana Menteri Malaysia bagi hubungan dengan China, Tan Sri Ong Ka Ting, Duta Besar Malaysia ke China, Datuk Iskandar Sarudin dan pegawai dari Jabatan Penerbangan Awam Malaysia.
Dalam pertemuan itu, pihak China memuji usaha mencari dan menyelamat yang dilakukan oleh Malaysia sejak pesawat tersebut terputus hubungan pada Sabtu lalu. China juga meminta kerajaan Malaysia dan Syarikat Penerbangan Malaysia (MAS) mengumumkan perkembangan terkini dengan segera, di samping memberikan maklum balas kepada persoalan keluarga penumpang.
Pihak Malaysia pula menyatakan bahawa usaha mencari dan menyelamat sedang giat dilaksanakan. Selain itu, taklimat tetap akan diadakan bagi memberikan maklumat perkembangan terkini, termasuk berusaha memenuhi permintaan keluarga penumpang.