Satelit pemerhatian bumi China yang mempunyai peleraian tinggi, Gaofen-1 berjaya mengesan tiga objek besar terapung di kawasan terakhir pesawat MAS MH370 dilaporkan terputus hubungan.
Menurut laman sesawang Jabatan Pentadbiran Sains, Teknologi dan Industri Pertahanan Negara China semalam, imej satelit yang diperoleh pada pukul 11.00 pagi 9 Mac lalu, mengesan tiga objek yang disyaki daripada pesawat tersebut pada kedudukan 105.63 darjah longitud Timur dan 6.7 darjah latitud Utara.
Ketiga-tiga objek itu bertaburan di kawasan lingkungan 20 kilometer dengan masing-masing bersaiz 13 x 18 meter, 14 x 19 meter dan 24 x 22 meter.