Asia Tenggara Waspada Konfrontasi Dicetus AS

2021-12-29 17:10:25  CRI
Share with:

Negara Asia Tenggara tidak mahu melihat pembentukan mana-mana pakatan menyasar China oleh Amerika Syarikat (AS) seperti Dialog Keselamatan Empat Pihak (QUAD) dan AUKUS.

Demikian dinyatakan Ngeow Chow Bing, Pengarah Institut Pengajian China Universiti Malaya dalam temu bual bersama wartawan Kumpulan Media China (CMG) baru-baru ini.

Menurutnya, walaupun wujud percanggahan pendapat mengenai isu Laut China Selatan dengan China, namun negara Asia Tenggara tidak menganggap China sebagai musuh atau pesaing strategik.

Beliau berkata, Asia Tenggara mengekalkan hubungan baik dengan China dalam bidang ekonomi, perdagangan dan sosiobudaya, sementara menjalankan banyak kerjasama dengan negara Barat seperti AS, Britain dan Australia. Asia Tenggara tidak mahu melihat mereka menjadi pesaing strategik bagi satu sama lain.

Menyentuh tentang prospek kerjasama ekonomi dan perdagangan antara China dan Malaysia, beliau berkata, Malaysia berharap lebih banyak syarikat China datang mengadakan pelaburan dalam sektor-sektor termasuk industri pembuatan, perkhidmatan, pengangkutan dan logistik.

Malaysia juga menanti-nantikan keterbukaan China secara berterusan bagi menyediakan lebih banyak peluang kepada syarikat Malaysia, selain menggalakkan pertukaran ekonomi yang saling menguntungkan.