Pemimpin China, Rusia Saling Kirim Perutusan Tahun Baharu

2021-12-31 22:08:09  CRI
Share with:


Presiden China Xi Jinping dan rakan sejawatannya dari Rusia Vladimir Putin saling mengirimkan perutusan tahun baharu, hari ini.

Xi menerusi perutusannya berkata, tahun 2021 merupakan ulang tahun ke-20 pemeteraian Perjanjian China-Rusia bagi Kejiranan Baik dan Kerjasama Persahabatan. Dengan pelanjutan perjanjian itu, hubungan dua hala akan kekal utuh bersandarkan konsep “jalinan muhibah yang diwarisi dan kerjasama yang saling untung”.

Menurut beliau, program Tahun Pertukaran Sukan yang bakal dilancar pada 2022 akan membuka lembaran baharu dalam hubungan dua hala yang sedia kukuh.

Ketika menyentuh tentang kunjungan Putin ke China untuk menghadiri majlis perasmian Sukan Olimpik Musim Sejuk Beijing, Xi turut menyuarakan hasratnya untuk mengekalkan komunikasi rapat dengan rakan sejawat dari Rusia itu.

Beliau juga mahukan perkongsian strategik komprehensif dimantapkan lagi pada era baharu serta kerjasama dua negara dalam pelbagai bidang terus dinaiktaraf.

Dalam pada itu, Putin membalas dengan menyifatkan program kolaborasi antara dua negara sebagai amat berhasil.

Antara pencapaian yang diperoleh termasuk dialog politik membabitkan segenap lapisan berjalan lancar, nilai dagangan dua hala mencatat rekod tertinggi, koordinasi dalam menyelesaikan isu-isu antarabangsa dan rantau adalah cekap dan efektif.

Beliau berharap agar temasya sukan di Beijing berkenaan dapat diadakan dengan jayanya, dan menanti-nantikan pertemuan bersama Presiden Xi.