2022: Apa yang Bakal Menanti Kita?

2021-12-27 15:48:27  CRI
Share with:

Ketika tahun 2021 hampir tamat, dunia masih lagi bergelut dengan pandemik COVID-19 yang telahpun bermaharajalela sepanjang tahun. Dalam senario pertarungan kuasa besar, permuafakatan antarabangsa walaupun kelihatan cerah namun bukan tiada ganggu-gugatnya. Perubahan semasa yang tiada tolok-bandingnya dalam abad kebelakangan ini tengah menguji kebijaksanaan dan iltizam manusia sejagat dalam usaha berjuang untuk survival mereka. Dalam hubungan ini, baik buruknya urus tadbir global pada keseluruhannya mencerminkan tahap respons manusia sejagat terhadap krisis semasa.

Pada tahun 2021, negara-negara di rantau Asia Tenggara telah bergilir-gilir dilanda oleh pandemik. Munculnya pelbagai varian virus sudahpun membebankan sistem kesihatan awam negara-negara serantau ke tahap yang tidak terhingga. Sebelum ini, bila China mendahului negara lain dalam menabur janji untuk menyumbang vaksin, ASEAN telah diberi keutamaan sebagai penerima menurut janjinya. Ini jelas mencerminkan betapa pandang beratnya China terhadap perhubungan diplomatik dengan ASEAN. Tatkala vaksin sumbangan China diagihkan untuk menepati janjinya, perbuatan demikian telah sekali lagi memperingatkan rakyat serantau tentang terjalinnya perhubungan rakan dialog antara China dengan ASEAN sejak tiga dekad yang lalu.

Penilaian Semasa Asas Tinjauan Ke Depan

Soal samada Asia Tenggara akan bertambah baik pada tahun 2022, tidaklah akan menjadi hakikat sekiranya ianya sekadar impian semata-mata. Sebaliknya ianya banyak bergantung kepada samada wujudnya unsur-unsur positif dalam perkembangan semasa pada tahun 2021.

Sepanjang tahun 2021, semua negara baik yang besar mahupun yang kecil tidak terlepas dari pilihan samada terus tutup sempadan ataupun memulihkan ekonomi tatkala pandemik masih berleluasa. Asia Tenggara turut tidak terkecuali. Namun demikian, saat yang genting itu juga waktu keemasannya. Dalam hubungan ini, pandemik telah menguji tali persaudaraan yang bersifat saling membantu di antara China dan ASEAN. Apabila pandemik mula melanda ASEAN pada tahun 2020, walaupun China masih belum terlepas dari cengkaman pandemik, namun "Laluan Sutera Kesihatan" cadangannya yang mengandungi program pelatihan gunatenaga(2020-2022), stok simpanan bahan-bahan keperluan cemas perubatan serta mekanisme respons kecemasan bersama China-ASEAN, jelas mencerminkan keikhlasan mesra jiran pihak China terhadap ASEAN. Kini dengan meningkatnya status diplomatik dua hala kepada "rakan strategik menyeluruh", tidaklah sukar jika diwujudkan satu acuan "Komuniti Bersama China-ASEAN". Ini tetap serasi dengan lakaran wawasan ASEAN buat tahun 2025 yang mengandungi "ASEAN Community Vision",  "ASEAN Security Community" , "ASEAN Economic Community" dan  "ASEAN Socio-Cultural Community".

Tahun 2022 akan memperlihatkan mulanya perhubungan “rakan strategik menyeluruh” antara China-ASEAN, serta merupakan titik tolaknya pemulihan ekonomi pasca pandemik yang dinanti-nantikan oleh dunia sejagat. Ianya dijangka akan membawa kesan yang signifikan terhadap senario dunia pasca pandemik dalam dekad ini ( 2021-2030). Sekiranya "Laluan Sutera Kesihatan" berjaya terlaksana, maka ianya akan menjadi bidang baru pertama BRI, di luar projek prasarana asas konvensional, yang dijangka akan menghadapi cabaran getir dari "Diplomasi Vaksin" tajaan pihak Amerika Syarikat. Ini bermakna daya usaha "Laluan Sutera Kesihatan" yang berniat melibatkan permuafakatan pelbagai pihak antarabangsa dijangka akan menjadi satu lagi bidang pertarungan geopolitik kuasa besar di antara China dengan Amerika Syarikat.

Selari dengan itu, normal baru yang terjelma akibat pandemik turut menyerlahkan ekonomi digital serta memangkinkan permuafakatannya. Ianya juga menambahkan lagi bidang projek untuk fasa baru pelaksanaan BRI yang lebih tertumpu kepada kualiti tinggi. Kini masalah kekurangan infrastruktur digital serta jurang perbezaan digital yang ketara di Asia Tenggara sememangnya merupakan satu-satunya kekangan utama yang perlu diatasi dalam usaha menjayakan "Ketersambungan Digital"  (digital connectivity). Namun demikian, arah aliran konsumerisme semasa di Asia Tenggara semakin bercorak digital. Ini sudah tentu akan menyumbang kepada pembangunan ekonomi digital. Menurut data ASEAN, bilangan pengguna on-line serantau sejak bermulanya serangan pandemik telahpun melonjak pantas sebanyak 40 juta. Jumlah wang yang terlibat dalam "on-line transfer" juga kelihatan bertambah dari AS$600 bilion pada tahun 2019 kepada AS$620 bilion pada tahun 2020. Dijangka arus aliran sedemikian akan memanfaatkan pelaksanaan inisiatif "Laluan Sutera Digital" nanti.

Peluang Untuk Pembangunan Mampan

Tahun 2021 juga merupakan "Tahun Pembangunan Mampan China-ASEAN" yang membawa pengertian besar kepada seluruh ASEAN kerana hendak mencapai matlamat Pembangunan Mampan (SDG) tajaan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu menjelang tahun 2030. Antara 17 matlamat SDG yang dikenal pasti, "Pengurangan Kemiskinan" yang mengepalai senarai SDG, serta Ekonomi Hijau dan Ekonomi Biru adalah satu-satunya bidang yang harus diberi penekanan wajar kerana manfaatnya jauh melebihi pulangan kewangan semata-mata.

Dalam hubungan ini, daya usaha mengurangkan kemiskinan di Asia Tenggara tetap memerlukan perkongsian pengalaman sukses China jika ianya bersesuaian dengan keadaan sosial setempat. Demikian juga, Ekonomi Hijau yang menumpukan pengurangan tahap pengeluaran karbon dan penerokaan tenaga baru turut mempunyai ruang saling- melengkapi antara China dengan ASEAN. Di samping itu, sumber sinaran matahari dan hutan belantara tropikal yang negara-negara ASEAN dikurniakan, jika digabungkan dengan teknologi China yang setimpal dalam bidang berkenaan, tidaklah mustahil ianya akan membantu bahkan terus menyumbang kepada penyerlahan penggunaan tenaga Suria serta pencapaian matlamat "Karbon Neutral" di Asia Tenggara.

Dalam pada itu, permuafakatan dalam bidang Ekonomi Biru juga merupakan satu bidang baru dalam penerokaan sumber lautan secara mampan. Ianya merupakan satu-satunya tumpuan baru dalam Resolusi Sidang Kemuncak ASEAN baru-baru ini. Dalam bidang ini, kedua-dua pihak China dan ASEAN boleh berganding bahu dalam sektor ekonomi seperti perikanan, akuakultur dan pelancongan maritim.

Sebagai contoh, perangkaan dagang dua hala dalam hasil akuakultur buat tahun 2019 telah mencecah AS$3.649 bilion. Antaranya meliputi import China bernilai sebanyak AS$1.553 bilion dari ASEAN, sedangkan eksportnya ke ASEAN berjumlah AS$2.096 bilion. Perkembangan seperti ini telah berjaya mengasaskan Ekonomi Biru dengan sewajarnya.

Walaupun demikian, negara-negara ASEAN di pesisir pantai Laut China Selatan tetap tidak wajar membataskan sasarannya kepada dagangan hasil laut yang sediada sahaja. Sebaliknya mereka harus berusaha meningkatkan lagi peratusan sumbangan Ekonomi Biru kepada perangkaan KDNK negara secara menyeluruh. Dalam hubungan ini, sememangnya tidak boleh disangkal bahawa negara-negara berkenaan tetap memerlukan perkongsian pengalaman China dalam pembangunan Zon Ekonomi Birunya. Menurut modelnya, penggabungan ikhtiar dan daya usaha ekonomi laut serta darat persekitarannya adalah saling melengkapi dan hendaklah bergerak serentak.

Siapa Yang Menguasai Peluang Semasa?

Meninjau ke depan, walaupun kesudahan pandemik masih belum ketara, namun sementara itu negara-negara Asia Tenggara tidak kekurangan peluang keemasan untuk menjalin permuafakatan serantau demi memulihkan semula ekonominya. Dalam pada itu, mungkin masih tertimbul kesangsian di kalangan pihak tertentu yang meragui kalau-kalau peluang yang dimaksudkan semuanya dikuasai oleh China. 

Pada hakikatnya, anggapan sedemikian adalah kurang tepat sama sekali kerana gambarannya tidaklah menyeluruh. Cuba lihat sahaja Perkongsian Ekonomi Komprehensif Serantau (RCEP) yang akan mula dikuatkuasakan pada 1hb Jan 2022, maka kesangsian berkenaan dapatlah terjawab dengan dirinya.

Kita sedia maklum bahawa pasaran dagangan bebas RCEP yang terdiri daripada 15 buah negara menjana jumlah dagangan terbesar di dunia sebanyak hampir 30 peratus dari jumlah KDNK sedunia. Di samping itu, ianya juga didapati meraih pendapatan sejumlah AS$209 bilion untuk kepentingan ekonomi sedunia. Dijangka menjelang tahun 2030, sumbangan pendapatan yang berkenaan akan mencecah AS$500 bilion. Ini tetap sumber pemangkin yang akan membolehkan ASEAN dalam usaha memulihkan ekonomi pasca pandemik.

Lebih-lebih lagi, China sebagai anggota RCEP yang terbesar juga didapati tengah memperluaskan lagi keperluan pasaran dalamannya di bawah pelaksanaan model ekonomi baru "Dual Circulation" dirinya. Sudah tentu pasaran China akan terus menjadi tumpuan utama ASEAN yang juga rakan dagang China terbesar.

Tentang soal negara mana yang menguasai RCEP, keindukan ASEAN sememangnya tidak harus dipertikaikan. Ini bukan semata-mata kerana ASEAN yang mencadangkan RCEP, atau sebab ASEAN mempunyai 10 kerusi dari kalangan 15 buah negara yang menganggotai RCEP, bersamaan dua pertiga dari segi kekuatannya. Kelebihan ASEAN sebenarnya berkisar kepada keupayaannya dalam menyelesaikan kemelut, umpamanya yang terlintas di kalangan negara China, Jepun dan Korea Selatan. Selama ini, ketiga-tiga buah negara tersebut terus tidak dapat mencapai kata sepakat dalam soal FTA ( perjanjian dagang bebas) sebelum terbentuknya RCEP. Dengan perangkuman menerusi RCEP, maka kemelut berkenaan dapat terselesai dengan dirinya.

Demikian juga, Australia dan New Zealand yang mempunyai perhubungan FTA dengan ASEAN secara berasingan pun turut diundang menyertai RCEP, maka makin luas lagi jaringan yang terjalin melalui ASEAN.

Di samping itu, pengesahan Parlimen yang diwajibkan untuk menguatkuasakan RCEP juga mempunyai prasyarat yang memihak kepada ASEAN. Bilangan pengesahan berkenaan yang minima wajib terdiri daripada 6 dari 10 negara anggota ASEAN serta 3 dari 5 buah negara berstatus rakan dialog ASEAN.

Dari segi perhitungan geopolitik pula, walaupun ASEAN kelihatan tersepit dalam pertarungan geopolitik kuasa besar, namun ianya tetap bersikap inklusif serta berkecuali. Sementara bermesra dengan China, iaitu rakan dagangnya yang terbesar, ASEAN juga terus mengekalkan tali perhubungan politik dan ekonomi yang baik dan stabil dengan Amerika Syarikat serta negara-negara sekutunya seperti Jepun, Korea Selatan, Australia dan New Zealand. Strategi memperimbangkan diri dalam pertarungan seperti ini memperkukuhkan lagi kedudukan induk ASEAN dalam RCEP.

Meredakan Konflik serta Membangun Secara Aman Sebagai Jalan Keluar

Tatkala pertarungan kuasa besar antara China dengan Amerika Syarikat semakin sengit, cabaran getir utama yang ASEAN hadapi sebenarnya berpunca dari perpaduan dalaman di kalangan negara anggotanya. Memang tidak dapat dinafikan bahawa pertikaian tentang tuntutan kedaulatan bertindih di perairan Laut China Selatan di antara China dengan beberapa buah negara ASEAN telahpun menjejaskan usaha ke arah memantapkan lagi teras keyakinan dua hala.

Dalam keadaan menghadapi hasutan bertubi-tubi oleh Amerika Syarikat dan negara sekutunya, pihak China boleh mempertimbangkan agar mengguna pakai mekanisme "Komuniti Bersama China-ASEAN" sebagai satu wadah untuk menyelesaikan pergeseran berkenaan serta menerokai peluang permuafakatan dalam bidang Ekonomi Biru di kawasan perairan yang dipertikaikan. Sementara menunggu pencapaian kata sepakat atas "Code of conduct for South China Sea" yang menggariskan panduan tingkah-laku maritim di Laut China Selatan, perbuatan tersebut boleh dibuat tanpa berkehendakan tuntutan kedaulatan masing-masing dibelakangkan.

Dalam erti kata lain, wadah berkenaan adalah berteraskan status diplomatik yang bersifat "rakan strategik menyeluruh". Ianya bukan sahaja berdaya berfungsi sebagai pengantar bagi memudahkan permuafakatan ekonomi, malahan juga sebagai wadah untuk mempromosikan interaksi sosiobudaya dan persefahaman serta menyelesaikan konflik dan memantapkan lagi keyakinan dua hala. Adalah wajar sekiranya pihak China bertindak pantas agar perhubungannya dengan ASEAN tidaklah terhad sahaja kepada permuafakatan ekonomi, tetapi turut merangkumi ketersambungan (connectivity) secara menyeluruh dalam pelbagai bidang demi kepentingan diplomatik dua hala.

Menyingkap kembali kepada sejarah, rakyat serantau Asia Tenggara pernah hidup dengan penuh sengsara akibat digodai dengan polemik ideologi yang bertentangan pada zaman Perang Dingin dulu. Kini rakyat ASEAN yang berjumlah 650 juta orang pun tidak sanggup terus terjerat dalam ketegangan ketenteraan yang berpanjangan.

Menjelang bermulanya RCEP pada tahun 2022, harapan rakyat kian menyerlah. Pemulihan ekonomi pasca pandemik adalah jalan keluar yang mesti dijelajahi. Tetapi ini tetap berteraskan keamanan. Sementara ianya menguji kebijaksanaan ASEAN berpolitik seimbang dalam pertarungan China dengan Amerika Syarikat, tahap keikhlasan kedua-dua buah kuasa besar itu dalam usaha membela keindukan ASEAN dalam RCEP juga turut diuji.

ONG TEE KEAT

Pengerusi, Centre for New Inclusive Asia.