RCEP Sedia Peluang Besar kepada Negara Serantau

2022-01-10 14:32:11  CRI
Share with:


Perjanjian Perkongsian Ekonomi Komprehensif Serantau (RCEP) bakal menjana lebih banyak peluang pertumbuhan ekonomi kepada negara-negara terbabit.

Demikian kata Timbalan Presiden Eksekutif Dewan Perniagaan dan Perindustrian Nasional Laos (LNCCI), Daovone Phachanthavong pada Sabtu.

Beliau berkata selain memacu pertumbuhan ekonomi domestik, dari sudut serantau pula, RCEP mampu mengurangkan kos perdagangan dan penghantaran serta membuka lebih banyak saluran pekerjaan.

“Dengan itu, hasil pertanian Laos akan memiliki akses lebih luas kepada pasaran, manakala ramai rakyat tempatan akan lebih mudah mendapat kerja di luar negeri,” katanya.

Tambah Daovone, RCEP akan menjadikan hubungan antara Laos dengan China bertambah erat.

“Dengan beroperasinya tren yang menghubungkan Laos dan China, jumlah penghantaran barangan kekal dengan trend menaik.

“Ditambah pula dengan berkuatkuasanya RCEP, kos perdagangan komoditi dapat dikurangkan secara ketara,” ujar beliau.

Pada masa sama, Daovone turut menjangka bahawa pelaburan asing terhadap Laos akan bertambah pada tahun ini, susulan keutuhan prestasinya dalam eksport.

“Di bawah Inisiatif Jalur dan Laluan (BRI), kami (Laos) kini dilengkapi fasiliti lebuh raya dan landasan kereta api dan ia membuka lembaran baharu dalam usaha merancakkan pembangunan negara.

“Saya yakin, ekonomi Asia juga dijanjikan prospek yang cerah,” luah Daovone.