China, Indonesia Sasar Kerjasama Utuh Pasca Pandemik
China akan terus bekerjasama dengan Indonesia dalam seluruh rantaian industri vaksin COVID-19 serta penyelidikan dan pembangunan (R&D) ubat-ubatan, bagi membantu negara itu membina pusat pengeluaran vaksin serantau.
Demikian ujar Presiden China, Xi Jinping dalam perbualan telefon dengan rakan sejawatnya dari Indonesia, Joko Widodo pada Selasa.
Dalam pada itu, beliau turut menyarankan supaya kedua-dua negara merealisasikan pembangunan bersama, di samping menjadi suri teladan kerjasama pragmatik.
Katanya, usaha sama berorientasikan Inisiatif Jalur dan Laluan (BRI) perlu diintegrasikan dengan pembentukan paradigma pembangunan baharu China serta pelan pembangunan jangka panjang dan sederhana Indonesia, bagi memacu kerjasama pasca pandemik.
Kolaborasi juga hendaklah dilakukan bagi membina landasan kereta api berkelajuan tinggi (HSR) Jakarta-Bandung dengan berkualiti tinggi, dan menjayakan program utama seperti Koridor Ekonomi Komprehensif Serantau dan “Dua Negara, Dua Taman”.
Beliau berkata, China dan Indonesia akan masing-masing menjadi pengerusi BRICS dan Kumpulan 20 (G20) pada tahun ini. China bersedia bergandingan dengan Indonesia dalam mengamalkan multilateralisme sebenar, melaksanakan inisiatif pembangunan global serta memelihara kepentingan negara pasaran baru muncul dan negara membangun.
Joko Widodo pula berkata, Indonesia dan China telah menyaksikan peningkatan perdagangan dan pelaburan dua hala yang pesat pada tahun lepas. Di samping itu, kerjasama perubatan membuahkan hasil yang memberangsangkan terutamanya dalam pengeluaran vaksin COVID-19 dan R&D ubat-ubatan. Kini, sebanyak 80 peratus vaksin Indonesia adalah berasal dari China.
Indonesia bersedia memperkasa kerjasama dengan China dalam bidang ekonomi, perdagangan dan usaha melawan pandemik.
Beliau juga mengalu-alukan syarikat China membuat pelaburan di negara itu, dan menjalankan kerjasama dalam bidang teknologi tinggi dan pembangunan hijau.