China Lancar Pesta Beli-belah Sambut TBC

2022-01-14 14:47:52  CRI
Share with:

 Pesta beli-belah dalam talian sempena menyambut Tahun Baharu Cina (TBC) bakal menjanjikan pengalaman terbaik buat pelanggan domestik.

 

Pesta beli-belah itu dilancarkan Kementerian Perdagangan (MOC) China pada Isnin menyediakan pelbagai pilihan produk berkualiti, dengan tawaran harga berpatutan dan promosi lebih menarik.

 

Jurucakap MOC, Shu Jueting berkata, pengguna China boleh menantikan produk pilihan eksklusif dari negara anggota Pertubuhan Kerjasama Shanghai (SCO) membabitkan 1,500 kategori barangan ketika pesta berkenaan berlangsung sehingga 7 Februari.

 

Sementara itu, wakil SCO dan diplomat asing yang bertugas di Beijing dijemput memperkenalkan produk popular hasil keluaran negara masing-masing menerusi penstriman langsung, katanya.

 

Pihaknya memberi jaminan bekalan sempena perayaan serta barang keperluan mencegah wabak COVID-19 mencukupi, selain platform e-dagang dalam negeri turut menawarkan khidmat tempahan khas mengikut cita rasa pelanggan, seperti menu jamuan makan besar pada malam menjelang TBC pada 31 Januari.

 

“Tidak terhad kepada pilihan sajian menjamu selera, pesta itu juga menyediakan perkhidmatan merangkumi perjalanan, penginapan, rekreasi dan hiburan kepada pengguna,” kata Shu kepada media di Beijing, Khamis.

 

MOC turut menggalakkan penglibatan sektor luar bandar dalam pesta beli-belah TBC, agar lebih banyak hasil pertanian yang berkualiti terus sampai ke meja makan masyarakat bandar.