Guterres Sekali Lagi Seru Keadilan Agihan Vaksin

2022-01-18 14:26:32  CRI
Share with:

Pemulihan sejagat menjadi perlahan akibat unsur-unsur seperti wabak COVID-19, rantaian bekalan dan inflasi, menyebabkan Agenda Pembangunan Mampan 2030 Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) tergendala.

Demikian kata Setiausaha Agung PBB, Antonio Guterres ketika menyampaikan ucapan dalam Forum Ekonomi Dunia (WEF) pada Isnin. 

Menurutnya, kadar vaksinasi sekarang masih jauh daripada yang disasarkan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), iaitu sebanyak 40 peratus populasi dunia divaksin menjelang akhir 2021 dan 70 peratus menjelang pertengahan 2022.

"Kadar vaksinasi di negara berpendapatan tinggi adalah tujuh kali ganda berbanding negara Afrika.  Keadaan ini amat memalukan," katanya. 

Guterres sekali lagi menyeru supaya pengagihan vaksin dilakukan secara adil, dan program vaksin PBB menjadi keutamaan dalam pembekalan produk kesihatan awam itu.

Dalam pada itu, pembekal berkenaan juga digesa menyokong penyetempatan membabitkan saringan virus, pengeluaran vaksin dan perawatan pesakit.