China, Filipina Kukuh Persahabatan, Perkasa Kerjasama

2022-01-18 14:26:45  CRI
Share with:


Pendirian Beijing konsisten untuk terus memperkasa perpaduan dan kolaborasi dengan Manila, kata Menteri Luar, Wang Yi.

Ahli Dewan Negara itu ketika berucap sempena Forum Manila China-Filipina menerusi pautan video, Isnin, mengibaratkan ikatan persahabatan antara dua negara yang terjalin sejak lebih 1,000 tahun lalu, bagai aur dengan tebing.

Tegas beliau, dasar luar China terhadap negara jiran sentiasa dilaksanakan berdasarkan konsep diplomasi yang mesra, ikhlas, saling untung dan inklusif sesama tetangga.

“Kami (China) bersedia untuk terus menjamin keperluan Filipina terhadap vaksin COVID-19, selain bekerjasama dalam pembangunan ubat-ubatan dan kesihatan awam sehingga virus itu dikalahkan,” ujarnya.

Wang turut berjanji untuk terus mengimport lebih banyak hasil pertanian Filipina serta meningkatkan pelaburan di negara Asia Tenggara itu.

“Kami akan membantu Filipina mempercepat proses pemodenan dan pengindustrian serta meningkatkan keupayaan pembangunan secara swadaya,” kata beliau.

Menyebut tentang isu Laut China Selatan, Wang menyuarakan kesudiannya untuk menggalakkan penerokaan bersama tanpa menjejaskan hak dan tuntutan masing-masing.

“Kami bersedia mengubah cabaran menjadi peluang, membantu pembangunan Filipina, dan mengukuhkan lagi persahabatan dalam kalangan rakyat,” tambah beliau.

Dalam pada itu, Wang juga menyeru supaya dua negara itu menggembleng tenaga memelihara kedamaian dan kestabilan serantau.