Mesej Xi Rungkai Persoalan Dunia

2022-01-19 14:40:20  CRI
Share with:

Persoalan masyarakat antarabangsa terhadap isu-isu semasa terjawab apabila Presiden Xi Jinping tampil lagi di podium Forum Ekonomi Dunia (WEF) dengan membawakan idea dan cadangan segar.

Saranannya merangkumi empat aspek, iaitu solidariti dan kolaborasi dunia untuk memerangi pandemik COVID-19; langkah-langkah untuk mengatasi pelbagai risiko dan memantapkan rejuvenasi ekonomi global; usaha merapatkan jurang pembangunan; serta pentingnya hidup bersama secara damai demi keuntungan bersama dan menyingkirkan mentaliti Perang Dingin.

Lahir daripada rumusan pengalaman dikutip dalam sejarah, syor tersebut sememangnya realistik dan menunjukkan hala tuju yang jelas buat masyarakat antarabangsa untuk mengharungi kesulitan semasa.

Di tengah-tengah penularan wabak, China mengotakan janjinya untuk menyalurkan bekalan vaksin kepada dunia.

Setakat ini, lebih 120 negara dan pertubuhan antarabangsa telah menerima bekalan vaksin sebanyak dua bilion dos daripada China.

Presiden Xi semasa sesi tahunan Davos forum berkenaan turut mengumumkan, China akan terus menyumbangkan ratusan juta dos vaksin kepada Afrika dan ASEAN.

Sepanjang tahun lepas, pemulihan ekonomi sejagat agak perlahan dengan menghadapi banyak ketidaktentuan.

Oleh itu, Xi sekali lagi menekankan peri pentingnya globalisasi ekonomi dan multilateralisme yang sebenar.

Beliau menyeru semua pihak supaya menggerakkan pembaharuan sistem tadbir urus global dan mengukuhkan koordinasi dasar makro.

Xi menyuarakan hasratnya untuk bersama-sama semua pihak menterjemahkan Inisiatif Pembangunan Sejagat dalam bentuk pelaksanaan, dan berusaha memastikan tiada satu pun negara ditinggalkan.

Sebagai tindak balas kepada segelintir kuasa yang mencetuskan pertentangan dan konfrontasi, Xi memberi amaran bahawa perlakuan perlindungan dan unilateralisme nescaya mengundang padah sendiri.

Beliau berpendapat, negara dan tamadun yang berbeza boleh makmur bersama berdasarkan rasa hormat antara satu sama lain, dan mencari titik persamaan dan menang-menang dengan mengetepikan perbezaan.

Xi telah mengulangi komitmen China untuk memajukan pembangunan berkualiti tinggi, memantapkan pembaharuan dan pintu terbuka serta membina tamadun ekologi.

Mesej tersebut meletakkan China sebagai kuasa yang terus menerajui pertumbuhan ekonomi dunia dan menjadi “sauh kestabilan” pembangunan dunia.