China Gesa Lindungi Kaum Wanita di Kawasan Konflik

2022-01-19 14:14:33  CRI
Share with:

China menyeru supaya perlindungan terhadap kaum wanita di kawasan konflik diperhebat.

Demikian ujar Wakil Tetap China ke Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB), Zhang Jun dalam perdebatan terbuka PBB berhubung isu kaum wanita, kedamaian dan keamanan, pada Selasa.

Beliau berkata, mendorong penglibatan wanita dalam proses keamanan politik dan melindungi wanita dalam konflik bersenjata merupakan agenda penting dalam Majlis Keselamatan PBB (UNSC) dalam isu tersebut.

Sehubungan itu, antara saranan yang dikemukakan China adalah melindungi golongan tersebut di kawasan konflik tanpa diskriminasi sama ada terlibat dalam proses damai atau sebaliknya.

Tambah Zhang, komuniti antarabangsa juga perlu menambah jumlah bantuan berpandukan prinsip yang termaktub di dalam PBB dan memastikan keperluan kehidupan seharian wanita tidak terjejas akibat konflik.

Selain itu, China mengusul agar keganasan dan konflik dibanteras dari peringkat akar umbi.

"Di samping menghukum tingkah laku ganas menyasarkan wanita, pihak berkenaan diharap dapat mencegah dan menangani konflik secara komprehensif sebagai perlindungan yang paling asas" ujar Zhang lagi.

Sementara itu, China mencadangkan sokongan terhadap pembangunan hak dan kepentingan wanita dengan kepercayaan bahawa ia dapat mengoptimumkan kedudukan, penglibatan dan kekuatan mereka dalam bidang kedamaian dan keamanan, serta yakin ia akan memberi jaminan kepada pembangunan agenda terbabit untuk jangka panjang.

Untuk itu, China bersedia bersama dengan masyarakat antarabangsa menggalakkan dan mendorong pembangunan wanita, menyokong peranan wanita dalam hal ehwal antarabangsa, dan bersama membangun masa depan yang damai dan cemerlang.