Isu Palestin Perlu Diselesai Secepat Mungkin

2022-01-20 13:39:08  CRI
Share with:

Komuniti antarabangsa diseru menyuntik dorongan baharu ke arah menyelesaikan isu Palestin secara tuntas secepat mungkin. 

Seruan dibuat Naib Wakil Tetap China ke Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Geng Shuang dalam perbahasan terbuka Majlis Keselamatan mengenai situasi Asia Barat pada Rabu.

Beliau merayu supaya pihak-pihak terbabit kekal bertenang, mengelakkan tindakan permusuhan dan keganasan, serta mengukuhkan gencatan senjata di Gaza.

"Israel mesti memenuhi kewajipan di bawah undang-undang antarabangsa, termasuk menjamin keselamatan penduduk di wilayah yang didudukinya, menyiasat keganasan menyasar rakyat jelata Palestin, dan mengekalkan status quo tapak suci di Baitulmaqdis.

"Pada masa sama, kebimbangan pihak Israel terhadap isu keselamatan juga harus dihormati," katanya.

Geng menyifatkan projek penempatan Israel di Tebing Barat Sungai Jordan melanggar undang-undang antarabangsa.

Beliau menggesa Israel berhenti merobohkan rumah dan mengusir rakyat Palestin serta meluaskan penempatan berkenaan, di samping mewujudkan syarat untuk pembangunan komuniti Palestin di Tebing Barat.