China, Mesir Meterai Kerjasama Bina Fasiliti Penyimpanan Sejuk Vaksin

2022-01-20 15:44:41  CRI
Share with:

Syarikat biofarmaseutikal China, Sinovac akan bekerjsama dengan syarikat Mesir, VACSERA untuk membina fasiliti penyimpanan sejuk vaksin di ibu kota Mesir, Kaherah.

Menurut perjanjian yang ditandatangani secara hibrid pada Rabu itu, Sinovac akan membina fasiliti penyimpanan sejuk automatik dengan kemampuan untuk menempatkan sebanyak 150 juta dos vaksin.

Difahamkan, selepas selesai dibina, ia bukan sahaja akan menjadi pusat simpanan vaksin terbesar di Mesir, bahkan yang paling besar di seluruh rantau Afrika.


Pada upacara pemeteraian kerjasama itu, Duta Besar China ke Mesir, Liao Liqiang turut mengumumkan China akan menderma lagi sekumpulan vaksin COVID-19 kepada Mesir dalam usaha mencapai sasaran pemvaksinan sebanyak 70 peratus ke atas penduduknya menjelang pertengahan tahun ini.

Turut hadir pada upacara tersebut adalah pemangku Menteri Kesihatan dan Populasi Mesir, Khaled Abdel-Ghaffar yang telah menzahirkan penghargaan kepada China atas bantuan besar dalam menghadapi pandemik COVID-19.

"Langkah China yang baharu untuk menderma lagi vaksin kepada Mesir telah menggambarkan keazaman kedua-dua negara untuk bekerjasama dalam perjuangan melawan pandemik, sekali gus memperlihat persahabatan yang ikhlas rakyat China terhadap rakyat Mesir," ujar beliau.

Jelas Khaled, Mesir bersedia bersama-sama dengan China mempertingkat kerjasama dalam bidang pengeluaran vaksin tempatan, pemindahan teknik dan penyelidikan dan pengeluaran ubat-ubatan, agar menyumbang kepada usaha rakan negara Afrika mendepani pandemik COVID-19.