Adakah Cip Tawar-Menawar AS Dapat Berfungsi?

2024-04-24 16:37:05  CRI
Share with:


Setiausaha Negara Amerika Syarikat (AS) Antony Blinken dijadual mengadakan lawatan ke China bermula 24 April.


Sehubungan dengan itu, AS dilihat giat mencanangkan suatu isu tertentu bagi mencipta cip tawar-menawar untuk rundingan dua hala yang bakal diadakan.


Menurut laporan media asing, Blinken dijangka akan membangkitkan lagi 'teori kapasiti pengeluaran berlebihan' China dalam lawatannya kali ini.


'Teori kapasiti pengeluaran berlebihan' yang diheboh-hebohkan AS didapati berubah dari semasa ke semasa dengan menyasarkan bidang berbeza, iaitu daripada sektor semikonduktor pada 2022 kepada pengeluaran produk tenaga baharu, terutamanya kereta elektrik sejak 2023.


Jelasnya, semua sektor berkelebihan China dilabel sebagai 'mempunyai kapasiti pengeluaran berlebihan' oleh AS, termasuk sektor tenaga baharu China yang menjadi berdaya saing.


Dengan kata lain, tumpuan AS sebenarnya adalah berfokus kepada momentum baharu ekonomi China dan kemajuan yang dicapai negara Tembok Besar.


Eropah menjadi sasaran utama AS untuk menguar-uarkan 'ancaman' sektor tenaga baharu China. Ia turut memperlihatkan niat AS mahu menjadikan 'teori kapasiti pengeluaran berlebihan' sebagai senjata perdagangan.


Padahal, kapasiti pengeluaran sektor kenderaan tenaga baharu (NEV) bukan berlebihan, sebaliknya adalah masih kurang dewasa ini. Lebih banyak NEV perlu dihasilkan bagi merealisasikan matlamat pelepasan karbon sifar di peringkat global.


Sebagai negara pengeluar NEV terbesar dunia, China mengeluarkan lebih 9.58 juta NEV pada 2023, antaranya 1.2 juta unit dieksport ke pasaran antarabangsa. Hampir 90 peratus keluaran NEV China adalah untuk memenuhi permintaan domestik.  

Kekurangan kapasiti pengeluaran bukan sahaja masalah yang dihadapi sektor NEV, tetapi juga membantut transformasi ekonomi global ke arah mesra alam.


Kerajaan AS mula menjalankan 'siasatan' terhadap kenderaan bersambung pintar (ICV) China pada tahun ini. Amalan itu bertujuan menghalang pembangunan sektor yang maju di China apabila sektornya sendiri kurang berdaya saing pada masa ini.


Dengan menyebarkan naratif negatif mengenai kelebihan China malahan mendakwa ia bakal membawa ancaman, AS berniat menjejaskan momentum pembangunan serta keyakinan China.


Namun, bukankah tindakan AS seumpama itu turut mencerminkan bahawa apa yang diusahakan China adalah betul?