Beijing 2022: China Hargai Sokongan Malaysia, Puji Persiapan Atlet

2022-01-20 15:41:10  CRI
Share with:

Duta Besar China ke Malaysia, Ouyang Yujing menzahirkan penghargaan kepada Malaysia atas sokongan penganjuran Sukan Olimpik Musim Sejuk Beijing 2022 yang dijadual berlangsung pada bulan depan.

Beliau turut berkata, walaupun Malaysia beriklim tropika, namun atletnya gigih dalam membuat persiapan tatkala menghadapi pelbagai kesukaran.

Justeru, Quyang berharap atlet Malaysia mampu memperoleh pencapaian cemerlang dalam temasya sukan kali ini.

Beliau berkata demikian ketika menghadiri majlis penyerahan Jalur Gemilang oleh Majlis Olimpik Malaysia (MOM) kepada Kontinjen Malaysia ke Sukan Olimpik Musim Sejuk 2022 di Beijing pada Rabu.

Pada majlis tersebut, Presiden MOM, Tan Sri Mohamad Norza Zakaria berkata, temasya sukan kali ini merupakan peluang baik untuk membangkitkan semula semangat menuju ke era pasca wabak.

Beliau yakin bahawa Beijing dapat menganjurkan Sukan Olimpik Musim Sejuk dengan selamat dan jayanya susulan pelaksanaan langkah pencegahan dan kawalan wabak yang berkesan.

Untuk edisi kali ini, Malaysia akan diwakili oleh dua atlet luncur salji alpine iaitu Jeffrey Webb, 23, dalam kategori slalom lelaki dan Aruwin Idami Salehhuddin, 17, dalam kategori slalom dan slalom gergasi wanita.