Olimpik Beijing 2022: Upacara Perasmian Jadi Fokus

2022-01-21 13:27:57  CRI
Share with:

Berbaki 14 hari menjelang perasmian Sukan Olimpik Musim Sejuk 2022, sesi raptai terakhir sedang giat dilaksanakan.

Namun, menurut Pengarah Upacara Perasmian dan Penutupan temasya tersebut iaitu Zhang Yimou, kerja-kerja inovatif telah dimulakan seawal dua tahun setengah yang lalu.

Dalam satu wawancara eksklusif bersama Kumpulan Media China (CMG) pada Khamis, beliau berkata upacara perasmian kali ini yang bermatlamat 'ringkas tapi menarik' dijadual akan berlangsung selama kurang daripada 100 minit.

Ketika memperincikan lebih lanjut, Zhang berkata terdapat sekitar tiga ribu individu seni akan terlibat dalam penyampaian persembahan kesenian di ruang besar Stadium Negara atau turut dikenali Sarang Burung, manakala teknologi canggih akan digunakan untuk mencapai kesan visual terbaik.

Jelas beliau, upacara perasmian temasya kali ini boleh dikaitkan dengan elemen seperti romantik, moden, kesenian serta sains dan teknologi.

"Berbanding Sukan Olimpik 2008, perubahan paling ketara adalah watak utama digantikan dari 'saya' kepada 'kita'.

"Pada edisi 2008, fokus ditumpukan untuk memberi pemahaman kepada penonton bagi mengenali kebudayaan tradisional China, manakala semangat dan konsep 'together to a shared future' akan menjadi fokus dalam edisi 2022," ujar Zhang.