China Umum Kertas Putih Angkasa Lepas 2021

2022-01-28 14:15:19  CRI
Share with:

Dewan Negara China pagi tadi mengumumkan Kertas Putih Angkasa Lepas China 2021, iaitu kertas putih kelima berhubung program angkasa lepas China.

Difahamkan, kertas putih ini menjelaskan secara sistematik kejayaan cemerlang China yang melibatkan sektor projek utama dan aplikasi sains dalam bidang aeroangkasa sejak 2016, selain memperkenalkan misi utama, dasar dan tindakan, serta interaksi dan kerjasama antarabangsa bagi membangunkan industri aeroangkasa China dalam tempoh lima tahun akan datang.

Kertas putih ini terdiri daripada enam komponen tentang membina negara aeroangkasa yang berkuasa, membangunkan teknologi dan sistem angkasa lepas, memupuk dan mengembangkan industri aplikasi angkasa lepas, menjalankan penerokaan dan penyelidikan saintifik angkasa lepas, menggalakkan pemodenan tadbir urus aeroangkasa, dan membina paradigma baharu kerjasama antarabangsa dalam bidang aeroangkasa.

Menurut Timbalan Pengarah Pentadbiran Angkasa Negara China, Wu Yanhua, lima tahun yang lalu menyaksikan industri aeroangkasa berjaya membuahkan kecemerlangan dalam inovasi dan pembangunan.

"Ia termasuk penaiktarafan roket pembawa yang dipercepatkan dengan penggunaan Long March 5, roket pembawa generasi baharu yang bebas toksik dan pencemaran.

"Dalam pada itu, dengan kewujudan roket pembawa komersial, China kini mempunyai keupayaan pelancaran dari darat atau laut.  Sebanyak 207 kali misi pelancaran telah dijalankan dari tahun 2016 hingga bulan Disember 2021 dengan kadar kejayaan merekodkan 96.7 peratus," kata Wu.

Beliau berkata, pembinaan stesen angkasa lepas China telah dilaksanakan secara menyeluruh, dan enam angkasawan yang berjaya menjalankan tugas di stesen itu dilihat telah membuka era penginapan angkasawan di stesen angkasa lepas dalam jangka masa panjang.

Untuk rekod,  projek penjelajahan Bulan yang melibatkan "mengelilingi Bulan, mendarat, dan pulang ke Bumi" berjaya dijalankan.

Satelit Chang'e-4 buat kali pertama berjaya mendarat di belakang Bulan bagi menjalankan misi pemeriksaan dan penerokaan, manakala satelit Chang'e-5 pula telah membawa balik 1731 gram sampel tanah dari Bulan.

Selain itu, pendaratan Prob penyelidikan Tianwen-1 pula dilihat sebagai batu loncatan signifikan bagi China untuk mengeksplorasi semesta dari sistem Bumi-Bulan kepada penerokaan antara planet, dan buat pertama kalinya juga meninggalkan jejak China di Marikh.

Tambahan lagi, infrastruktur angkasa lepas China turut menyaksikan penambahbaikan secara berterusan, sistem perkhidmatan navigasi satelit global Beidou beroperasi sepenuhnya, manakala sistem cerapan Bumi beresolusi tinggi pula telah disempurnakan.

Memetik kertas putih itu, China sentiasa menjadikan pembangunan industri aeroangkasa sebagai komponen penting dalam strategi pembangunan keseluruhan negara, dan sentiasa berpegang pada prinsip penerokaan dan penggunaan angkasa lepas untuk tujuan aman.

"Industri aeroangkasa China akan berpaksikan kepada fasa pembangunan baharu pada lima tahun akan datang, mengamalkan konsep pembangunan baharu, membina paradigma pembangunan baharu, dan mempromosikan pembangunan menyeluruh sains, teknologi dan aplikasi angkasa lepas yang bertepatan dengan pembangunan berkualiti tinggi," menurut kertas putih itu.