Pemerhati Rasmi IOC: Penganjuran Sukan Olimpik Beijing Musim Sejuk Capai Taraf Tinggi

2022-02-04 14:15:03  CRI
Share with:

 Penganjuran Sukan Olimpik Musim Sejuk Beijing 2022 disifatkan sebagai cemerlang, sekali gus menyediakan pengalaman berharga kepada negara penganjur yang seterusnya.

Demikian dinyatakan oleh para pemerhati rasmi yang terdiri daripada wakil Jawatankuasa Penganjur Sukan Olimpik Paris 2024, Sukan Olimpik Musim Sejuk Milano Cortina 2026, dan Jawatankuasa Antarabangsa (IOC) selepas meninjau pengoperasian pertandingan di Stadium Sukan Negara, di sini, pada Khamis.

Kesemua mereka yang terdiri daripada 114 individu dijadual untuk mengunjungi 12 lokasi pertandingan dan 10 lokasi bukan pertandingan yang masing-masing terletak di bandar Beijing, daerah Yanqing dan bandar Zhangjiakou.

Antara intipati lawatan rasmi tersebut adalah termasuk pengoperasian stadium, penganjuran pertandingan, percubaan acara pertandingan, dan perlindungan jenama.

Selain itu, mereka turut diberikan taklimat secara terperinci oleh wakil China berhubung pengambilan kakitangan, pembangunan perisian latihan dalam talian, pengangkutan untuk individu dalam gelembung tertutup (closed-loop), sistem perubatan dan logistik.

Menurut petugas Jawatankuasa Penganjur Sukan Olimpik Musim Sejuk Milano Cortina 2026, Sandro Volpato , China terkenal dengan ketepatan dan ia sekali lagi jelas terbukti dalam penganjuran Sukan Olimpik Musim Sejuk 2022.

"Pelbagai kaedah baharu diperkenalkan termasuk dalam pengambilan kakitangan dan pemberian latihan, selain pengurusan  gelembung tertutup  tatkala menghadapi ancaman penularan pandemik COVID-19.

"Langkah-langkah yang cekap tersebut secara tidak langsung boleh dijadikan panduan kepada penganjur pada masa akan datang," ujar beliau lanjut.