Upacara Perasmian Olimpik 2022 Beri Indikator Solidariti, Kolaborasi

2022-02-07 15:53:40  CRI
Share with:

Pengamal media pelbagai negara menyifatkan upacara perasmian Sukan Olimpik Musim Sejuk 2022 pada Jumaat sebagai momen nostalgik serta menganggap ia satu indikator solidariti dan kolaborasi kepada dunia.

Akhbar Lianhe Zaobao Singapura dalam artikelnya berkata, api Olimpik sekali lagi dinyalakan di Beijing selepas penganjuran Sukan Olimpik pada 14 tahun lalu.

Menurut akhbar itu, selain menggunakan banyak teknologi tinggi termasuk kecerdasan buatan (AI), upacara perasmian itu juga mengikut prinsip penganjuran Olimpik Musim Sejuk 2022, iaitu “sederhana, selamat dan gemilang”.

Agensi Berita Yonhap dari Republik Korea menyatakan Beijing muncul sebagai bandar pertama di dunia yang pernah menganjurkan Olimpik Musim Panas dan Olimpik Musim Sejuk.

Memetik laporannya, walaupun skala upacara perasmian kali ini dikurangkan, namun pesona tradisional China berjaya dipaparkan sepenuhnya.

Selain itu, kehebatan teknologi China juga jelas terserlah apabila teknologi tangkapan gerakan berorientasikan AI digunakan dalam menyajikan persembahan.

Akhbar Sin Po Indonesia dalam artikelnya pula menyatakan, slogan “bersama ke masa depan yang dikongsi” temasya sukan itu menerapkan matlamat bersama ke arah solidariti, kedamaian, kemajuan dan keterangkuman.

Jelas akhbar itu, ia sekali gus menterjemahkan moto Olimpik “lebih cepat, lebih tinggi, lebih kuat, lebih bersatu”, serta menzahirkan impian bersama ke arah masa depan yang gemilang.