Langkah Antiwabak Beijing Sempurna, Wajar Dicontohi - Menteri Thailand
Langkah tegas dan ketat bagi menangani penularan wabak COVID-19 sepanjang Sukan Olimpik Musim Sejuk Beijing merupakan pendekatan boleh dicontohi negara lain yang bakal menganjurkan acara berprestij secara tertutup.
Demikian ujar Menteri Pelancongan dan Sukan Thailand, Phiphat Ratchakitprakarn kepada wartawan Kumpulan Media China (CMG), pada Selasa.
Beliau berkata, langkah-langkah yang diambil Beijing adalah bertujuan memastikan temasya sukan itu berjalan lancar.
“Pergerakan keluar masuk antara premis penginapan dan latihan dilakukan menggunakan laluan khas yang ditetapkan.
“Saya rasa penganjuran temasya itu sempurna dan boleh menjadi contoh baik kepada penganjur acara antarabangsa lain,” katanya sambil mengimbas kembali detik melawat ke tempat latihan di Beijing.
Phiphat turut menyifatkan pembukaan Olimpik Beijing sebagai gilang-gemilang dengan pelbagai persembahan berasaskan teknologi canggih.
“Konsep mesra alam terserlah semasa majlis pembukaan, yang dijalankan mengikut prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan.
“Disebabkan cuaca agak sejuk di Beijing, pihak penganjur telah menyediakan skarf, topi dan sarung tangan kepada kami (tetamu asing), ia cukup mengharukan,” tambah beliau.
Menurut Phiphat, temasya Beijing berkenaan memberi inspirasi kepada masyarakat Thai, terutamanya golongan muda untuk terlibat dalam sukan ais dan salji.
“Saya berharap empat atlet kami yang bertanding di pentas Olimpik Beijing dapat menjadi suri teladan kepada golongan belia,” ujarnya.