Bing Dwen Dwen Penyepadu Budaya China dan Sukan Olimpik

2022-02-10 15:33:37  CRI
Share with:

Bing Dwen Dwen, maskot Sukan Olimpik Musim Sejuk Beijing 2022, merupakan penyepadu budaya China dengan sukan ais dan salji, menurut pegawai eksekutif reka bentuk, Liu Pingyun.

Beliau menyatakan, Bing Dwen Dwen di dalam cangkerang ais, kelihatan lebih atletik apabila digayakan sebagai topi keledar sukan, sekali gus menunjukkan perwatakan rakyat China yang jujur dan peramah.

Maskot berupa panda itu dipakaikan “sut” lutsinar, yang diilhamkan daripada batang hawthorn bersalut gula, atau tanghulu, makanan ringan yang sangat popular di utara China.

“Snek itu bukan sahaja elemen ideal yang mencetuskan ilham kepada saya, tetapi juga relevan dan sinonim dengan musim sejuk dan sukan ais,” ujar Liu kepada pemberita Kumpulan Media China (CMG), pada Rabu.

Pasukan pereka bimbingan Liu yang berpangkalan di Guangdong, turut memasukkan elemen kreatif pada maskot berkenaan, iaitu satu siri garisan terapung berwarna di sekeliling kepala panda menyerupai trek di gelanggang ais, merujuk kepada National Speed Skating Oval, atau “Reben Ais”.

“Ahli pasukan kami pernah ke Rizab Alam Semula Jadi Wolong di wilayah Sichuan hanya untuk memerhati setiap gelagat dan gerak-geri anak panda,” kata Liu ketika mengimbas kembali proses penciptaan dan penyemakan selama hampir sepuluh bulan.

Semenjak pembukaan Olimpik Beijing, Bing Dwen Dwen turut mencuri perhatian ramai apabila miniatur maskot itu kehabisan stok di kedai serata China, manakala topik berkaitan si comel itu juga viral dalam media sosial China.

Liu Pingyun berpendapat, di sebalik populariti Bing Dwen Dwen nampaknya tarikan budaya China, yang menyampaikan konsep muhibah.

Maskot Bing Dwen Dwen yang membuat penampilan sulung di Beijing pada 17 September 2019, dianugerahkan kepada pemenang pingat Olimpik Beijing 2022 sebagai cenderahati.