Thongloun Puas Hati dengan Perkhidmatan Tren Laos-China

2022-02-11 15:42:11  CRI
Share with:


Perkhidmatan tren yang menghubungkan Laos dan China memudahkan perjalanan rakyat di antara negara, di samping melicinkan penghantaran barang, kata Presiden Laos Thongloun Sisoulith.

Beliau berasa gembira melihat perkhidmatan pengangkutan itu dikendalikan dengan teratur dan cekap sejak pengoperasiannya dua bulan lalu.

"Kereta api laju ini selamat dan selesa, hasil dedikasi pemain industri rel dua negara,” katanya ketika berkongsi pengalaman menaiki tren Unit Gandaan Elektrik (EMU), Lane Xang di Vientiane, baru-baru ini.

“Saya berharap seluruh rakyat Laos dapat menikmati kemudahan rel itu dan beroleh manfaat daripada Inisiatif Jalur dan Laluan,” tambah beliau.

Statistik menunjukkan, setakat 5 Februari, larian tren EMU dicatatkan sebanyak 116 kali, dengan membawa seramai 108,770 penumpang, atau purata 1,699 penumpang sehari.

Manakala, penggunaan rel itu juga merekodkan prestasi baik di mod pengangkutan barang sehingga mencecah 133,191 tan.

Thongloun turut menambah, Kolej Vokasional dan Teknikal Kereta Api Laos dalam pembinaan diyakini akan membantu memupuk lebih banyak bakat dalam bidang berkenaan.

Beliau juga menyarankan pihak pengelola rel tersebut supaya menawarkan latihan vokasional kepada pekerja Laos, selain terus bertindak memastikan rel dua negara itu beroperasi lancar.